Pakatan Rakyat hari ini mahu Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mendedahkan nama Ketua-Ketua Bahagian UMNO yang hadir dalam satu pertemuan dengan beliau dan Ketua Polis Negara, 14 Ogos lepas.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata sehingga kini tiada sebarang penafian dibuat oleh Abdul Gani mahupun Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berhubung perkara itu.
Beliau mahu penjelasan diberikan kerana ada persepsi bahawa Peguam Negara menerima tekanan daripada UMNO dalam membuat keputusan mendakwa individu mengikut Akta Hasutan yang kini dilihat dialami banyak pemimpin dari pembangkang.
Pada 15 Ogos lepas, Malaysiakini melaporkan pertemuan itu melibatkan 60 orang Ketua Bahagian UMNO dengan diketuai oleh Timbalan Pengerusi Biro Perlembagaan dan Undang-Undang UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Abdul Ghani dan Khalid.
Selain itu, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Datuk Mohamed Shahril Mohamed Tarmizi turut hadir.
Pada sidang media selepas pertemuan itu, Ismail Sabri berkata pertemuan itu diadakan kerana wujudnya banyak persepsi masyarakat seolah-olah wujud pendakwaan terpilih dan menyebabkan ada kes yang tertangguh serta tidak diselesaikan.
“Semasa pertemuan ini, kami telah mendapatkan penjelasan dan kesimpulan yang kami dapat ialah terdapatnya kelompongan dari segi undang-undang, ada undang-undang yang lemah dan perlu dipinda,” katanya yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu.
Bagaimanapun, dalam kenyataan Mohamad Sabu hari ini, beliau menganggap seolah-olah Abdul Gani bertindak menurut arahan dari pemimpin UMNO dalam pertemuan yang dikatakan diadakan secara tertutup itu.
“Adakah Peguam Negara bertindak menurut arahan dari pemimpin-pemimpin Umno? Siapakah dan bahagian-bahagian Umno manakah yang terlibat dalam pertemuan kontroversi tersebut?
“Mengapakah Peguam Negara baru sekarang mengambil tindakan terhadap laporan-laporan polis yang sudah lama dibuat oleh ahli-ahli Umno sejurus pertemuan pada 14 Ogos itu?†katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PAS di ibu negara hari ini.
Jika dakwaan itu gagal dijawab, ia boleh menimbulkan persepsi orang ramai bahawa Abdul Gani telah ‘menyalahguna’ kuasa.
“Keyakinan awam terhadap kebebasan dan pentadbiran keadilan yang adil juga kini tergugat,†katanya.
Soalnya, butiran pertemuan dan tujuannya diberitahu pada sidang media tetapi mengapa ia didakwa sebagai pertemuan tertutup dan penuh kontroversi oleh Mat Sabu.
Beliau turut memberi amaran kepada Abdul Gani supaya menasihat kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 serta menarik balik semua pendakwaan ke atas individu-individu yang sedang didakwa mengikut akta itu. – MYNEWSHUB
Oleh : IBNU K

