KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) menyambut baik pengumuman kerajaan setiap pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) wajib lulus kursus Bahasa Inggeris sebelum menamatkan pengajian di universiti masing-masing.
Naib Canselornya, Datuk Prof. Dr. Mohd. Amin Jalaludin berkata, pengumuman itu sejajar dengan dasar UM yang sentiasa menekankan kepentingan Bahasa Inggeris dengan mengkehendaki semua pelajarnya lulus bahasa itu.
“Pelajar perlu mendapat pencapaian minimum Band 2 ke Band 4 untuk mendapat tempat dalam program tertentu di UM.
“Sebagai contoh, untuk diterima menyertai program undang-undang pelajar mesti mendapat tahap kecekapan Band 4 manakala untuk program perubatan pelajar mesti mendapat tahap kecekapan Band 3,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2 September lalu mengumumkan setiap pelajar IPTA wajib lulus kursus Bahasa Inggeris sebelum menamatkan pengajian di universiti masing-masing.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan dipetik berkata, polisi baharu yang akan dilaksanakan itu telah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak demi melahirkan graduan bertaraf antarabangsa dan mampu berkomunikasi secara berkesan.
Menurut Muhyiddin, polisi tersebut seharusnya tidak menjadi beban kepada pelajar IPTA kerana sistem pendidikan di Malaysia telah menerapkan pembelajaran bahasa Inggeris sejak sekolah rendah sehinggalah ke tingkatan enam dan peringkat matrikulasi.
Mohd. Amin turut memaklumkan Bahasa Inggeris digunakan sebagai medium pengajaran untuk 85 peratus subjek di universiti itu.