WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump semalam mengisytiharkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi Amerika Syarikat (AS), sebagai langkah untuk membawa perpaduan kepada negara yang dicirikan oleh imigrasi dari seluruh dunia.
Rumah Putih menerbitkan perintah eksekutif yang ditandatangani Trump, menyatakan bahawa sudah tiba masanya Bahasa Inggeris diiktiraf sebagai bahasa rasmi negara itu.
“Bahasa kebangsaan yang diiktiraf secara rasmi adalah teras kepada masyarakat yang bersatu dan kukuh dan AS menjadi lebih kuat dengan warganya yang dapat bertukar-tukar idea dalam satu bahasa yang dikongsi bersama,” menurut dokumen berkenaan.
Perintah itu turut membatalkan mandat presiden yang diperkenalkan pada era pentadbiran Bill Clinton pada 1990-an, yang mewajibkan agensi persekutuan serta penerima dana kerajaan persekutuan menyediakan bantuan kepada individu yang tidak fasih berbahasa Inggeris.
Bagaimanapun, berdasarkan dokumen baharu itu, agensi kerajaan masih mempunyai fleksibiliti dalam menentukan tahap bantuan yang boleh diberikan dalam bahasa selain Inggeris.
“Tiada apa dalam perintah berkenaan yang mengarahkan perubahan dalam perkhidmatan yang disediakan oleh mana-mana agensi,” katanya.
Ia turut menyatakan bahawa ketua agensi kerajaan diberi kuasa untuk menentukan keperluan bagi memenuhi misi masing-masing serta memastikan perkhidmatan kerajaan disampaikan dengan cekap kepada rakyat AS.
Dalam pada itu, Trump sudah mengeluarkan banyak perintah eksekutif pada minggu-minggu awal pentadbirannya untuk menerapkan dasar sayap kanan dalam negara.
Bagaimanapun, banyak daripada perintah terbabit berdepan cabaran di mahkamah, terutama apabila ia bertujuan membatalkan pembiayaan persekutuan yang sudah diluluskan oleh Kongres.
Walaupun Rumah Putih mengakui lebih 350 bahasa dituturkan di AS, perintah itu menegaskan bahawa Bahasa Inggeris sudah menjadi bahasa utama AS sejak penubuhan republik itu.
“Dokumen pentadbiran bersejarah negara kita, termasuk Deklarasi Kemerdekaan dan Perlembagaan, semuanya ditulis dalam Bahasa Inggeris,” menurut dokumen berkenaan.
Menurut data kerajaan AS pada 2019, hampir 68 juta penduduk di negara itu bertutur dalam bahasa selain Inggeris di rumah.
Walaupun Bahasa Inggeris adalah bahasa utama, lebih 40 juta penduduk AS bertutur dalam Bahasa Sepanyol di rumah mereka.
Selain itu, terdapat juga komuniti imigran lain, termasuk mereka yang bertutur dalam Bahasa Cina dan Vietnam, serta pelbagai bahasa asli penduduk pribumi AS.
BHonline-