Tuduhan Dilempar Individu Berfikiran Kotor – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pihak yang melemparkan tuduhan kononnya beliau memiliki aset…

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pihak yang melemparkan tuduhan kononnya beliau memiliki aset sebanyak RM230 juta sebagai individu berfikiran kotor.

Menurut Presiden UMNO itu, jawapan bertulis yang diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong semalam membuktikan bahawa selama ini tuduhan yang dilemparkan itu adalah tidak benar.

Malah, tegas beliau, kenyataan menafikan tuduhan tersebut telah banyak kali dijelaskannya sejak dahulu lagi.

“Harus diingat pada 1996 saya bukan seorang anggota pentadbiran dalam kerajaan malah hanya Ahli Parlimen biasa dan Ketua Pemuda UMNO yang terlibat dalam pengurusan empat syarikat tersenarai selain pemegang saham minoriti di syarikat itu.

“Itu adalah jawapan bertulis daripada kerajaan sendiri. Alangkah seronoknya jika ada orang bersedih atau rasa kecewa sebab tidak dapat menjawab. Saya berharap bukan hanya dalam kalangan ahli Parlimen tetapi netizen juga harus mengetahui tuduhan liar itu perlu ditolak,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Vui Keong dalam jawapan bertulis kepada Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) memaklumkan bahawa tiada bukti menunjukkan Ahmad Zahid mempunyai aset RM230 juta.

Justeru, Vui Keong berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat dakwaan berkenaan jika ada maklumat dan bukti.

Tahun lalu, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa Ahmad Zahid pernah menerima wang sebanyak RM230 juta dalam akaunnya pada 1996.

Bagaimanapun, Dr Mahathir menyatakan beliau tidak mempunyai bukti hitam putih berhubung dakwaan itu. – UTUSAN ONLINE

Loading...