Thursday, March 28, 2024

Creating liberating content

Sistem Komunikasi Di Kawasan...

KUALA BERANG - Sistem komunikasi di Terengganu dan Kelantan masih berada ditahap yang...

Wujudkan Ekosistem Pendidikan Yang...

MUKAH – Sarawak akan mewujudkan ekosistem yang baik bagi mendekatkan anak-anak negeri ini...

Pengunjung Hospital Hairan Kambing...

ANKARA - Seorang warga emas tempatan mencetuskan rasa pelik dan kehairanan kepada kakitangan...

Korban Tsunami Meningkat Kepada...

LABUAN, Indonesia - Angka kematian akibat bencana tsunami di kepulauan Jawa dan Sumatera...

Si Tora: Ketawa Hanya Dua Kali Setahun

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

PERTAMA kali mendengar tentang kisah lelaki ini yang merupakan seorang daripada 12 orang pengasas Rejimen Gerak Khas (RGK), agak sukar untuk penulis mempercayai beberapa perkara yang diperkatakan oleh rakan-rakan lamanya.

Antaranya ialah dakwaan bahawa veteran tentera ini hanya ketawa dua kali sahaja setahun iaitu setiap kali Penyimpan Mohor Besar Raja-raja mengisytiharkan tarikh sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Tetapi, selepas mendengar sendiri pengakuan tuan punya diri, barulah penulis akur dengan apa yang diperkatakan.

Itulah kelainan yang menjadi identiti bekas Staf Sarjan Mohamad Zakaria Abas, 74, atau lebih popular dengan pangglan Si Tora atau Singa Berantai di kalangan rakan-rakan sepasukannya sewaktu berkhidmat dalam RGK dahulu.

Gelaran tersebut melekat kerana sikap bengisnya dalam menjaga disiplin anggota bawahan.

Paling ditakuti ialah jika beliau menudingkan jarinya. Setiap kali berbuat demikian, anggota komando yang ditudingnya mesti melakukan tekan tubi sebanyak 100 kali di depannya.

Dan kerana sikap serius jugalah beliau terpengaruh untuk mengawal ketawanya sehingga terbawa-bawa ke hari ini walaupun sudah 33 tahun meninggalkan dunia ketenteraan.

Biarpun dikatakan berkelakuan agak aneh, namun Si Tora tetap dianggap istimewa oleh kebanyakan bekas tentera terutama yang pernah mendapat asuhannya.

Tambahan pula, beliau dihormati kerana kecekapannya menembak dengan tepat serta tangkas mengendalikan senjata ringan sehingga diberi julukan Tangan Besi.

Kehebatannya menggunakan senjata bukan sekadar di medan pertempuran, tetapi turut pernah menjuarai pelbagai pertandingan menembak termasuk antara pasukan tentera Negara-negara Timur Jauh.

Penembak Tepat

Disebabkan itu, beliau telah dipilih sebagai salah seorang penembak tepat pasukan komando dan berkelayakan pula untuk mengajar dalam bidang tersebut.

Karier anak penoreh getah yang berasal dari Kampung Sayong Tebing, Kuala Kangsar Perak ini dalam tentera bermula sebagai rekrut pada 25 Mei 1949.

Selepas menamatkan latihan, beliau ditempatkan di Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu Diraja (4 RAMD).

Di 4 RAMD, banyak suka-duka yang dialaminya, baik ketika melaksanakan operasi di dalam negara mahupun di luar negara. Antaranya, pernah terperangkap dalam kepungan tentera negara jiran sewaktu konfrontasi di Pelaman Mapu, Serian pada tahun 1964 di samping bertempur sebanyak tiga kali ketika operasi memburu pengganas komunis.

Satu daripadanya berlaku pada tahun 1950-an di kampung Lengkong, Jambu Rias, Pahang apabila pasukan yang diketuainya berjaya membunuh seorang musuh lelaki yang merupakan anak buah Musa Ahmad.

Pada tahun 1959 pula, pasukannya telah diarah menjejak gerombolan musuh yang diketuai Ibrahim Baba, anak buah Kapten Abu Samah yang berpaling tadah menyertai komunis.

Penjejakan itu berakhir dengan pertempuran di hutan Kuala Krau, Temerloh, Pahang,

“Namun kami tidak berjaya menemuinya, tetapi dapat menembak mati seorang pengganas wanita,” cerita Si Tora.

Pada tahun 1960 pula, beliau dihantar bertugas ke Congo untuk mengamankan negara yang dilanda konflik itu di bawah misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

“Kami ke sana dengan menaiki kapal LST milik Amerika Syarikat dan tiba selepas berlayar selama 29 hari tanpa berhenti di mana-mana,” katanya.

Di Congo hatinya sering diruntun rasa hiba apabila melihat sebahagian besar rakyatnya dicengkam kebuluran serta kemiskinan.

“Mereka bukan sahaja tidak ada sumber makanan tetapi untuk bercucuk tanam pun sukar kerana tanah gersang,” katanya yang berkhidmat selama lebih setahun di sana.

Pembabitan Si Tora dalam komando pula bermula pada tahun 1964 sewaktu menjadi ketua platun di 4 RAMD di Muar dengan pangkat Sarjan.


Apabila mengetahui bahawa kerajaan akan menubuhkan pasukan komando, Si Tora bersama 22 anggota bawahannya terus membuat permohonan.

Ketika itu, usianya telah mencecah 35 tahun dan mempunyai tiga orang anak.

Walaupun begitu, beliau tetap memohon meskipun ada yang beranggapan dirinya sudah agak tua untuk menyertai pasukan elit tersebut.

Latihan Tanpa Belas Kasihan

Tidak berapa lama selepas itu, mereka diminta menjalani ujian pemilihan di Kem Sungai Besi.

Memandangkan jumlah yang hadir mencecah 300 orang melibatkan anggota dan pegawai dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia, maka sesi temuduga dan ujian telah berlangsung selama empat hari berturut-turut.

Untuk terpilih, mereka perlu menjalani ujian saringan yang ketat dan memeritkan.

Antaranya, perlu lulus semua ujian kecergasan, merempuh halangan, berlari serta ujian mental.

“Tugas saya sebagai jurulatih tentera ketika itu sedikit sebanyak memudahkan saya untuk lulus semua ujian,” katanya.

Pada penghujung November 1964, beliau diminta melapor diri di Kem Ulu Tiram, Johor untuk mengikuti Kursus Asas Komando selama dua bulan bersama 15 anggota tentera lain di bawah kendalian jurulatih 40 Komando Diraja British.

Latihan yang dilaluinya di peringkat awal begitu mencabar sekali serta tanpa belas kasihan. Antaranya, latihan terjun maut, ikhtiar hidup, mendayung dan berenang menyeberang Selat Tebrau pada waktu malam.

Begitu juga dengan latihan memikul balak yang beratnya lebih 40 kilogram sejauh 1.6 kilometer sambil meredah kawasan lurah, bukit dan belukar serta perlu sampai dalam beberapa minit tanpa kayu balak jatuh.

Selama dua hari kami melakukan penjejakan dengan dibantu oleh satu platun Rejimen Renjer Diraja. Akhirnya, selepas bersusah-payah, kem musuh berjaya ditemui di dalam hutan, tetapi malangnya mereka sempat lari.

“Seksanya Tuhan sahaja yang tahu. Lebih malang, kayu balak yang kami pikul terjatuh kira-kira 50 meter dari garisan penamat betul-betul di depan ketua jurulatih, Mejar Bacon. Apalagi, disuruhnya kami semua ulang balik bawa balak dari tempat mula,” katanya sambil memberitahu ketika itu mereka sudah amat keletihan.

Disebabkan geram dan marah dengan arahan Bacon, Si Tora tiba-tiba sahaja ‘naik minyak’ dan memikul balak tersebut seorang diri ke tempat permulaan.

Mungkin kagum dengan semangat Si Tora, Bacon akhirnya menyuruh beliau berhenti daripada memikul balak tersebut meskipun ketika itu dirinya telah bergerak sejauh berpuluh meter.

Selepas berhempas pulas, akhirnya seramai 12 daripada 15 orang yang melapor diri berjaya menamatkan kursus tersebut termasuk Si Tora.

Untuk melengkapkan kepakaran pula, kesemua mereka kemudiannya dihantar menjalani latihan payung terjun dan Kursus Jump Master di Batu Djajar, Bandung Indonesia.

Sewaktu dalam komando, satu operasi yang tidak dapat dilupakannya ialah ketika menjejak seorang komander Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) serta 13 pengikutnya di sempadan Sarawak-Kalimantan berhampiran Bau.

Komander tersebut diketahui sebagai pengganas yang licik apatah lagi beliau juga pernah mendapat latihan asas komando di Batu Djajar, Bandung.

“Selama dua hari kami melakukan penjejakan dengan dibantu oleh satu platun Rejimen Renjer Diraja.

“Akhirnya, selepas bersusah-payah, kem musuh berjaya ditemui di dalam hutan, tetapi malangnya mereka sempat lari,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.

Kategori