Rakyat Malaysia Terkandas Di Vienna Selamat Tiba

KUALA LUMPUR – Seramai 11 rakyat Malaysia yang dilaporkan terkandas di Vienna, Austria, disebabkan larangan perjalanan susulan penularan wabak COVID-19, selamat tiba di Malaysia.

Ketua Canseri Kedutaan Malaysia di Vienna, Mohd Yunus Ibrahim, berkata mereka yang terkandas sejak 17 Mac itu selamat tiba jam 2.25 petang semalam dengan pesawat MH0785 dari Bangkok.

“Mereka menaiki pesawat Finnair Airways melalui Helsinki menuju ke Bangkok pada 18 Mac, sebelum berlepas ke Malaysia,” katanya menerusi e-mel kepada Bernama.

Mohd Yunus berkata setakat ini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkandas di Austria mahupun Slovakia.

Sementara itu, Setiausaha I Kedutaan Malaysia di Uzbekistan Aneurin Ignatius, berkata sehingga semalam, jumlah rakyat Malaysia yang terkandas di Uzbekistan seramai 220 orang.

Ignatius berkata kebanyakannya terdiri pelancong, terkandas selepas Uzbekistan menguatkuasakan larangan perjalanan bermula 16 Mac.

“Kerajaan Uzbekistan akan menyediakan penerbangan sewa khas untuk menghantar pulang semua rakyat Malaysia dan Singapura yang terkandas.

“Bagaimanapun, setakat ini, belum ada maklumat mengenai tarikh dan masa penerbangan. Kedutaan sentiasa berhubung dengan kerajaan Uzbekistan untuk mendapatkan butiran lanjut berhubung perkara itu,” katanya.

Beliau berkata ahli keluarga rakyat Malaysia yang terkandas tidak perlu bimbang, memandangkan kes COVID-19 di Uzbekistan masih rendah iaitu 23 kes sehingga semalam.

“Kedutaan akan mengambil langkah yang perlu untuk memastikan keselamatan serta keselesaan rakyat Malaysia di Uzbekistan,” katanya.

Loading...