Penumpang Plusliner Disyaki Covid-19

PENUMPANG bas ekspres, Plusliner, dari Larkin, Johor ke Kuantan, Isnin lalu, yang cemas berikutan seorang penumpang bas itu disyaki mempunyai gejala koronavirus baharu (Covid-19) sudah berhubung dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan, hari ini.

Facebook Promosi PKD Kuantan dalam hantarannya menjelaskan, kesemua penumpang bas berkenaan sudah berhubung dengan pihaknya untuk tindakan lanjut.

“PKD Kuantan berterima kasih di atas kerjasama semua penumpang yang menaiki bas ekspres Plusliner dari Larkin ke Kuantan Isnin lalu, kerana menghubungi bilik gerakan.

“Pada masa sama, terima kasih kepada semua yang membantu berkongsi maklumat dan ia dianggap selesai,” katanya menerusi laman Facebook PKD Kuantan, hari ini.

Terdahulu, PKD Kuantan membuat pengumuman penting menerusi laman Facebook meminta semua penumpang yang menaiki bas ekspres Plusliner bernombor pendaftaran VDJ 2367, Isnin lalu, menghubungi segera PKD Kuantan.

Berdasarkan laporan, bas ekspres itu memulakan perjalanan dari Sentral Larkin di Johor Bharu-Stesen Bas Endau, Mersing-Terminal Sentral Kuantan (TSK).

Difahamkan, langkah mengesan semua penumpang dilakukan berikutan seorang daripada penumpang yang menaiki bas ekspres itu dikatakan menjalani ujian Covid-19. – myMetro Online

Loading...