Maran: Sebuah bas ekspres membawa 28 penumpang terbabit dalam kemalangan apabila melanggar belakang treler di Kilometer 161.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur, dekat sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, kemalangan kira-kira jam 1 pagi berlaku ketika bas ekspres terbabit dalam perjalanan dari Terminal Bas Selatan, Kuala Lumpur ke Terminal Sentral Kuantan.
“Ketika kejadian bas terbabit bergerak di lorong kiri dan pemandunya dipercayai hilang kawalan dan merempuh belakang treler,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Wong berkata, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian dan semua 28 penumpang dipindahkan ke bas lain untuk ke Kuantan.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku disebabkan kegagalan pemandu bas mengekalkan jarak selamat ketika memandu.
Kes disiasat di bawah Peraturan 10 LN 166/59 kerana gagal mengawal kenderaan.
-Harian Metro