Penjualan Ladang TH Plantations Di Bawah Nilai Pasaran

KUALA LUMPUR – Penjualan ladang THP-YT Plantation Sdn Bhd, anak syarikat TH Plantation Bhd (THP), dilaksanakan di bawah nilai sebenar dan ia boleh dijual pada harga lebih tinggi jika tidak dilakukan dengan tergesa-gesa, demikian mengikut Maybank IB Research.

Bahagian penyelidikan ekuiti bank pelaburan itu berkata, nilai pasaran ladang seluas 2,307 hektar itu adalah RM77.6 juta, lebih tinggi berbanding anggaran jualan pada harga enterpris (EV) RM72 juta.

“Jika THP tidak tergesa-gesa dalam penjualan itu, syarikat perladangan itu mampu mendapatkan harga yang lebih baik daripada RM31,209 bagi setiap hektar yang telah ditanam kelapa sawit,” katanya dalam nota penyelidikan ekuiti.

THP menjual keseluruhan kepentingan sebanyak 70 peratus dalam THP-YT Plantation Sdn Bhd, yang memiliki 2,594.5 hektar tanah, kebanyakan (2,307 hektar) telah ditanam dengan kelapa sawit dengan profil usia antara dua hingga sembilan tahun pada harga RM62 juta kepada TDM Bhd.

Secara umumnya, Maybank IB Research berkata, penjualan itu adalah langkah positif THP mengurangkan nisbah hutangnya dan juga membantu mengurangkan perbelanjaan faedah sebanyak lebih kurang RM3.8 juta setahun.

“Ladang yang kurang baik ini menghasilkan hanya 10.22 tan per hektar pada tahun kewangan 2019. Ia mencatatkan kerugian selepas cukai sebanyak RM7.5 juta pada tahun kewangan 2019,” katanya.

THP pada awal tahun ini mengumumkan ia sudah memeterai satu perjanjian dasar induk (HoA) dengan TDM untuk menjual keseluruhan kepentingan sebanyak 70 peratus dalam THP-YT Plantation Sdn Bhd, yang memiliki 2,594.5 hektar tanah ladang di Terengganu.

Sebagai balasan, TDM akan membayar tunai RM7 juta serta TDM dan/atau Yayasan Terengganu, yang memiliki kira-kira 30 peratus kepentingan ekuiti dalam THP-YT Plantation, akan menyelesaikan pendahuluan yang diberikan oleh Kumpulan THP yang berjumlah RM78.68 juta.

THP-YT memiliki tiga petak tanah ladang di daerah Setiu, Terengganu. Daripada 2,594.5 hektar, kebanyakan (2,307 hektar) telah ditanam dengan kelapa sawit dengan profil usia antara dua hingga sembilan tahun, kata TDM, yang majoritinya dimiliki oleh kerajaan Terengganu.

HoA itu juga akan membolehkan kedua-dua dua pihak untuk berunding dan memuktamadkan terma perjanjian bagi cadangan perjanjian penjualan saham dan perjanjian penyelesaian yang dicadangkan, yang akan dilaksanakan dalam tempoh lapan minggu selepas pelaksanaan HoA.

Menurut TDM dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia berkata, estet yang terletak berhampiran dengan ladang TDM sedia ada dan kilang minyak sawitnya, akan mengoptimumkan kapasiti pemprosesan dan mengurangkan kos pemprosesan kilang bagi setiap tan metrik buah tandan segar di kilang Sungai Tong.

Selepas pengambilalihan selesai, jumlah kawasan kelapa sawit yang ditanam kepunyaan TDM di Terengganu akan meningkat kepada 33,653 hektar daripada 31,346 hektar, katanya.

Mengenai cadangan penyelesaian untuk bahagian pendahuluan antara syarikat oleh THP-YT kepada subsidiari THP, THP Suria Mekar Sdn Bhd, kedua-dua pihak berkata sebahagian daripada pendahuluan yang berjumlah RM62 juta akan diselesaikan dengan menggunakan kemudahan bank selain daripada pendahuluan pemegang saham oleh TDM dan Yayasan Terengganu. – BH Online