Peguam Najib Bantah Buletin Jakim Jadi Bukti Pendakwaan

KUALA LUMPUR – Peguam bela utama kes penyalahgunaan dana SRC International, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini membantah usaha pihak pendakwaan menjadikan Buletin Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai bukti, dengan alasan penerbitnya itu perlu dibawa ke mahkamah untuk mengesahkan ketulenan buletin terlebih dahulu sebelum dokumen itu boleh diterima sebagai bukti.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram cuba menjadikan dokumen berkenaan sebagai bukti, yang diperoleh daripada saksi pembelaan kesembilan, Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Nasharudin Amir.

Bagaimanapun, Mohd Nasharudin juga memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, pihaknya belum menerima sebarang dokumentasi lain berkaitan kedudukan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 11 Januari 2010 selain buletin itu.

Sebelum ini, beberapa saksi mendakwa, Najib melawat Arab Saudi pada 11 Januari hingga 16 Januari 2010.

Tanggal 11 Januari itu merupakan lawatan tidak rasmi, manakala lawatan rasmi antara 13 Januari hingga 16 Januari 2010.

Dalam lawatan itu, saksi juga mendakwa Najib memberitahu pihaknya bahawa pemerintah Arab Saudi ketika itu, Raja Abdullah berjanji akan memberi bantuan kewangan kepada Najib.

Dalam prosiding sebelum ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom memberi keterangan bahawa beliau merupakan salah seorang delegasi yang diketuai Najib ke Arab Saudi dari 11 Januari hingga 16 Januari 2010.

Jamil Khir berkata, semasa lawatan itu, beliau dimaklumkan oleh Najib bahawa Raja Arab Saudi, Raja Abdullah telah berjanji memberikan sumbangan kewangan kepada bekas Perdana Menteri itu.

Dalam perenggan pertama Buletin Jakim bertarikh Februari 2010 menyatakan bahawa Jamil menghadiri satu program Ucapan Amanat Menteri 2010 di Putrajaya pada 11 Januari 2010.

Buletin itu didakwa menyatakan bahawa Jamil Khir memberi ucapan di majlis dihadiri ketua-ketua agensi berkaitan.

Bagaimanapun peguam utama, Muhammad Shafee membantah tindakan pihak pendakwaan.

Sithambaram kemudian berhujah bahawa dokumen itu telah dicetak Jakim sendiri dan disahkan oleh salah seorang kakitangan Jakim.

Bagaimanapun, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian mengarahkan dokumen itu diterima sebagai rujukan sahaja, iaitu Dokumen Pengenalan dan bukannya bukti.

Ini bermakna bahawa dokumen itu hanya dirujuk kepada saksi tanpa kandungannya dibacakan di mahkamah.

Perbicaraan bersambung esok di hadapan Hakim Mohd Nazlan.

Najib membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd. membabitkan tiga tuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dana SRC. – Sinar Harian

Loading...