Pegawai Khas Menteri Arah Batal Langgan Utusan

ANEH… Belum cukup 100 hari berkuasa, namun Pakatan Harapan (PH) jelas gentar dengan ‘kuasa’ Utusan Malaysia apabila Kementerian Pendidikan mengarahkan langganan akhbar itu dihentikan.

Lebih kelakar, arahan pelik berkuat kuasa serta-merta itu dikeluarkan oleh Penasihat Khas Menteri Pendidikan, Wan Saiful Wan Jan; yang pernah menjadi ahli seumur hidup PAS, menerusi memo khas bertarikh 18 Julai lalu.

Padahnya beliau, yang baru menyertai PPBM sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu dan kemudian dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN); teruk dikutuk ramai netizen pro-BN!

Kalangan pengguna media sosial tempatan mempersoalkan bidang kuasa luar biasa yang dimiliki Wan Saiful kerana hanya melalui tanda tangannya, surat pekeliling pembatalan langganan Utusan Malaysia itu terus berkuat kuasa.

Ujar seorang pengguna akaun Facebook, Mohd Aznawi, dia meragui isu kebebasan akhbar yang selalu digembar-gemburkan kerajaan Malaysia Baharu diterajui PH apabila media tertentu dijadikan sasaran balas dendam politik.

“Kata Malaysia Baharu konon meraikan kebebasan akhbar agar pemikiran anak-anak muda Melayu bangkit dan sedar seperti anak-anak muda bangsa lain. Tetapi buktinya, masih lagi takut dengan laporan Utusan Malaysia.

“Walhal pelajar tidak membaca akhbar dan boleh melayarinya secara online,” katanya ketika memberi maklum balas terhadap artikel memo ‘Langganan Utusan di semua agensi Kementerian Pendidikan, sekolah, universiti dihenti’.

Baca: Tak Tahu Arahan Henti Langgan Akhbar Utusan

Juga: Tun M Bakal Pilih KP Baru Utusan Ganti Aziz?

Dan: Akhbar Digital Terlaris 2017 Kekal Milik Utusan

Dalam pada itu, seorang lagi pengguna Facebook yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Chad berpendapat bahawa  penasihat khas kepada mana-mana menteri sebenarnya tidak memiliki kuasa eksekutif untuk buat arahan tertentu.

“Kalau iya pun, biarlah Ketua Setiausaha atau Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia keluar pekeliling. Janganlah sampai ‘penasihat’ jadi ‘punahsihat’,” ujar Pak Chad secara sinis merujuk gabungan perkataan punah dan nasihat.

Seorang lagi pengguna Facebook, Aza Malek juga mengeluarkan pendapat sama mempersoalkan bidang kuasa Wan Jan yang pernah cetus kontroversi mahu hapus hak istimewa Melayu dalam Perlembagaan Malaysia pada 2013.

“Penasihat sahaja sudah boleh buat keputusan untuk keseluruhan Kementerian Pendidikan? Hebat.. Tak mengapa, Utusan Online kami langgan pula,” balasnya yang merupakan jurugambar profesional dalam nada sindiran.

Untuk rekod, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik hari ini mengesahkan tidak tahu ada arahan henti langganan akhbar itu bagi institusi di bawah kementeriannya namun berdalih ia kemungkinan konon langkah berjimat cermat.

Syarikat Utusan Melayu yang menerbitkan Utusan Malaysia pernah diberi pujian oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila beliau sendiri mengakui sebagai pembaca setia akhbar keramat itu. – Mynewshub.TV

Loading...