Mayat 2 Mangsa Tertimbus Di Kaki Gunung Jerai Ditemui

GURUN – Mayat dua lelaki yang tertimbus dalam runtuhan tanah di kaki Gunung Jerai di sini petang semalam, ditemukan pada kedalaman hampir 15 meter, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, mayat Roslan Saidin, 52, ditemukan pada 10.49 pagi ini dan berjaya dibawa keluar pada 11.36 pagi.

“Mayat kedua (Md Noor Shaari, 68 tahun) ditemui pada 12.53 tengah hari dan berjaya dibawa keluar pada 1.01 petang ini, dan operasi selesai pukul¬†1.15 petang ini,” katanya kepada pemberita selepas operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Beliau berkata kedudukan kedua-dua mangsa berjarak antara satu hingga dua meter sahaja, namun pihaknya mengambil masa agak lama untuk mengeluarkan mangsa kerana mayat kedua-dua tertimbus lebih dalam.

“Pihak kami tidak mengalami kesukaran lain semasa operasi kerana keadaan cuaca baik dan kedudukan mangsa dapat dikesan oleh unit anjing pengesan terlebih dahulu.

“Dua eskavator digunakan dalam operasi ini dan sebelum menggali, kami membuat penstabilan struktur tanah terlebih dahulu dan kemudian barulah lakukan penggalian untuk mencari mangsa,” kata Sayani.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.00 petang Ahad, mangsa dikatakan tertimbus akibat berlaku pergerakan tanah semasa melakukan kerja-kerja penggalian pada kedalaman kira-kira 12 meter, untuk mencari harta karun yang kononnya didakwa tersimpan di kaki gunung berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata pihaknya memandang serius isu berkenaan dan menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan yang tidak sahih.

“Difahamkan berlaku kegiatan penjarahan harta warisan di lokasi kejadian dan saya seru orang ramai tidak membuat aktiviti yang tiada kesahihan.

“Tambahan pula, menurut Jabatan Warisan Negara (JWN),¬†aktiviti berkenaan menyalahi Seksyen 86 Akta Warisan Kebangsaan yang boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun,” katanya.

Beliau berkata kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk dibedah siasat, manakala kawasan yang sudah dikorek akan ditimbus semula bagi memastikan keselamatan di lokasi berkenaan.

Loading...