KUALA LUMPUR – Menolak DAP tidak bermakna menolak kaum Cina kerana politik dan kaum merupakan dua perkara berbeza.
Exco Pengajian Tinggi Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, menolak DAP adalah kerana
pendekatan dan naratif politik parti tersebut.
Menurut beliau, pendekatan DAP sering gagal memahami sensitiviti majoriti rakyat khususnya orang Melayu dan Islam.
Kata beliau, dalam banyak keadaan, kenyataan serta tindakan beberapa pemimpin DAP menyinggung perasaan rakyat.
Tambah beliau, kenyataan dan tindakan itu menjarakkan semangat kebersamaan nasional yang sepatutnya diperkukuhkan.
Ujar beliau, Malaysia memerlukan politik yang membina semangat nasional, saling menghormati dan memahami kontrak sosial.
“Negara ini tidak akan aman jika setiap isu dimainkan secara provokatif sehingga menimbulkan keresahan antara kaum dan agama.
“Kita boleh berbeza parti politik, tetapi jangan sesekali memutuskan hubungan kemanusiaan dan perpaduan sesama rakyat Malaysia.
“Politik datang dan pergi, tetapi negara dan keharmonian rakyat mesti terus dipertahankan,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Terdahulu, Haim Hilman berkata, perbezaan pandangan terhadap ideologi, pendekatan atau perjuangan sesebuah parti politik tidak bermakna membenci sesuatu bangsa.
Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Keusahawanan Pas berkata, Malaysia dibina atas asas hidup bersama dalam kepelbagaian kaum selama berpuluh tahun.
“Berniaga bersama, berjiran bersama, belajar bersama dan membesarkan anak-anak dalam negara yang sama.
“Ramai sahabat, guru, doktor, peniaga dan jiran kita daripada kaum Cina telah menyumbang besar kepada pembangunan negara,” katanya.
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Haim Hilman Abdullah


