Kesetiaan Orang Melayu Diuji?

MASIH setiakah Melayu kepada bangsanya? Persoalan ini ditujukan khas kepada semua lapisan umat Melayu. Tak kira tua atau muda. Tak kira berjawatan atau tidak. Tak kira lelaki atau perempuan, miskin atau kaya. Yang pastinya, persoalan ini perlu di jawab oleh setiap insan yang berbangsa Melayu.

Sesungguhnya, bangsa melayu itu adalah bangsa yang besar. Bangsa yang hebat. Tinggi peradabannya. Empayarnya, gah terbilang. Ilmu diplomasinya disegani ramai pihak. Pelabuhannya maju. Melayu terkenal sebagai pembuat kapal. Tinggi keilmuannya. Malah bahasa Melayu itu dahulu adalah lingua franca tarafnya. Peribahasanya juga melambangkan ketinggian budi dan pemikiran. Ketika itu Melayu setia dan bangga dengan bangsanya.

Sedarilah, bangsa Melayu itu, satu-satunya bangsa yang menjunjung tinggi agama Islam. Kalau sebut sahaja bangsa Melayu, pastilah Islam agamanya. Melayu dan Islam bagai isi dan kulit. Berpisah tiada, bercerai hanyalah mati yang di kandung tanah. Walaupun sudah mati, namaya tetap terpahat di nesan, sebagai nama Melayu yang beragama Islam. Nah! segalanya, bagai aur dengan tebing. Kesebatian Islam dan bangsa Melayu, menjadikan peradaban kita mulia dan dihormati seantero dunia.

Pada tahun 1946, Sumpah Melayu telah dikarang oleh Dato’ Onn Jaafar;

KAMI, umat Melayu beragama Islam pada hari ini berjanji tidak akan berhasad dengki, khianat dan iri hati, bertelagah dan berbalah sama sendiri. KAMI berjanji akan bersatu padu dan patuh menegakkan agama Islam. KAMI juga berjanji akan bekerja kuat untuk menyara diri dan keluarga kami.

KAMI sedia bersaing sesama umat Melayu dan kaum-kaum lain dengan jujur dan terhormat.

KAMI umat Melayu bersumpah setia untuk:

• Mempertahankan kepentingan dan hak Melayu;
• Mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu;
• Memperjuangkan ikhtisad dan pelajaran bangsa Melayu; dan
• Mempertahankan maruah Negara supaya aman sejahtera

Sudah lama diingatkan, malah berjanji setia agar tidak bertelagah dan berbalah sesama sendiri. Jangan ada perasaan hasad dan dengki. Namun, pada hari ini, dan sejak bertahun-tahun kebelakangan ini, Melayu sentiasa bertelagah sesama sendiri. Masih setiakah Melayu kepada bangsanya?

UMNO beberapa kali sudah berpecah. AJK agama UMNO keluar UMNO tubuh PAS. Dari Semangat 46, timbul pula PKR. Terbaru muncul pula Bersatu. Dulu PAS kukuh. Kini terbit pula PAN. Adakah ini semua tanda perjuangan? Atau ini bukti nyata pertelagahan semata-mata untuk mempertahankan ego dan kepentingan diri.

Wahai pemimpin Melayu. Sedarlah, perpecahan ini berpunca dari pemimpin Melayu sendiri. Hentilah pertelagahan ini. Kembalilah ke pangkal jalan. Hanya kembali kepada yang asas sahaja mampu menjadikan kita hebat semula. Kepada para mufti dan ulamak, bukankah Islam itu mampu menyelesaikan segala masalah umat. Oleh itu, kenapa tidak melaksanakan amanah untuk menyatukan kembali umat Islam di tanah bertuah ini?

Rasanya tidaklah biadap kami sebagai anak muda merayu agar seluruh pemimpin dan ulamak Melayu kembali bernaung di bawah satu payung. Kesianlah kami anak muda hari ini. Bila kalian berpecah, ekonomi kita amat rapuh. Kita jadi bangsa yang tidak lagi dihormati. Maka sukarlah perjalanan masa hadapan kami.

Oleh itu, sempena Ramadhan tahun ini, kami anak muda, berdoa ke hadrat Ilahi, agar seluruh pemimpin dan ulamak Melayu, terbuka pintu hidayahnya, agar menyusun langkah ke arah kesatuan umat Islam di negara tercinta ini. Mudah-mudahan umat Melayu terus bersatu di bawah payung Kerajaan Seri Paduka Baginda yang Dipertuan Agong.

#laskarmalaya

Loading...