Kerajaan Sabah Semakin Lemah, 2 ADUN Umum Keluar

KOTA KINABALU –┬áDua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), parti blok kerajaan negeri, hari ini mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa serta merta.

ADUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury dan ADUN Sugut, Datuk James Ratib kini menjadi ADUN Bebas yang menyokong Perikatan Nasional (PN) demi pembangunan kawasan mereka.

Pengumuman berkenaan dibuat dalam satu sidang media diadakan di kediaman Limus di Jalan Pintas, Penampang, dekat sini, yang turut dihadiri beberapa penyokong mereka.

Sebelum ini, Limus merupakan Naib Presiden UPKO dan Ketua UPKO Bahagian Beaufort manakala James selaku Ahli Majlis Tertinggi UPKO.

Limus berkata keputusan beliau meninggalkan UPKO adalah kerana telah hilang kepercayaan terhadap pucuk kepimpinan parti ketika ini yang tidak konsisten dalam perjuangan dan matlamat hala tuju parti.

Perkembangan politik tersebut menyaksikan kerajaan Sabah diterajui Warisan masih kekal memerintah negeri itu.

Kedudukan kerusi terkini blok kerajaan mempunyai 45 kerusi termasuk empat ADUN dilantik manakala blok pembangkang 20 kerusi termasuk seorang ADUN dilantik. 

DUN Sabah ketika ini mempunyai 65 kerusi termasuk lima ADUN dilantik dan majoriti mudah semasa adalah 33 kerusi.

Blok kerajaan terdiri daripada Warisan 31 kerusi, DAP (enam), UPKO (dua), PKR (dua) dan empat ADUN dilantik.

Blok pembangkang pula meliputi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sembilan kerusi, Parti Bersatu Sabah (empat), STAR (tiga), Bebas (dua), UMNO (satu) dan satu kerusi ADUN dilantik.

Loading...