Kenapa Orang Luar Mahu Atur Kepimpinan UMNO?

ADA seorang pemimpin luar UMNO sedang sibuk mahu mengatur dan mempengaruhi pemilihan pemimpin tertinggi UMNO.

Sejak awal lagi, Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah menunjukkan minat untuk melihat pemimpin tertentu memimpin UMNO.

Mahathir telah menyebut nama Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai pemimpin paling layak untuk menjadi presiden UMNO.

Timbul persoalan di sini kenapa Mahathir berminat dengan Khairy untuk memimpin parti lawannya, UMNO.

Adakah kerana Khairy dianggap lebih mudah diajak berunding dengan Pakatan Harapan atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)?

Khairy sendiri sejak sekian lama menunjukkan pendekatan yang lebih terbuka, yang dianggap liberal dan progresif.

Pendekatan liberal ini lebih dekat dengan PH pimpinan Mahathir, dan memang nampak tokoh seperti Khairy amat cocok dengan PH.

Mungkin salah satu sebabnya pemangku Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak dapat dipengaruhi oleh Mahathir.

Zahid juga dianggap oleh Mahathir sebagai mempunyai hubungan baik dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga saingan Mahathir dalam PH.

Mahathir menduduki jawatan Perdana Menteri dijanjikan selama dua tahun, dan Anwar akan mengambil alih selepas itu.

Tetapi sejak awal lagi Mahathir sudah mula menyekat orang-orang Anwar dan dibimbangi akan memegang jawatan PM lebih lama.

Atas faktor ini, Mahathir tidak mahu Zahid memimpin parti pembangkang yang mempunyai 54 kerusi di Parlimen.

Untuk selamat, Mahathir melihat parti yang sedang bangkit melawan itu perlu dapat dikawal olehnya.

Mungkin di sinilah perlunya Khairy yang menyebabkan awal-awal lagi Mahathir mengumumkan Khairy paling layak menyandang jawatan Presiden UMNO.

Selepas Mahathir bercakap menyokong Khairy, orang kuatnya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan pula bersuara mengatakan “haram” sokong Zahid sebagai presiden.

Kata Khairuddin, lebih baik sokong Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Presiden UMNO kerana Zahid tidak layak.

Kenyataan dua pemimpin PPBM ini menolak Zahid dan menyokong pemimpin lain menunjukkan ada agenda yang mereka mahu laksanakan.

Maka, jelas kepada ahli UMNO bahawa pihak luar tidak mahu Zahid memimpin parti ini kerana Zahid tidak sehaluan dengan agenda mereka. – Mynewshub.cc

Loading...