Isteri Asal Indonesia, Iedil Terikut Loghat Seberang

MASUK kandang harimau mengaum, masuk kandang kambing, mengembek! Kalau pergi ke tempat orang, mestilah kena ikut adat dan budaya negara mereka, kan?

Bagi pelakon Iedil Putra, kecenderungannya bertutur dalam slang Indonesia sedikit sebanyak berpunca selepas dia berkahwin dengan pelakon cantik dari seberang, Prisia Nasution pada Jun tahun lalu.

“Mungkin kedengaran cara percakapan saya seperti bahasa Indonesia kerana saya sedang membiasakan diri untuk asimilasi dengan kehidupan dan budaya di Indonesia.

“Lagipun, di rumah, kami tidak bercakap bahasa Malaysia atau Inggeris sebaliknya lebih banyak berkomunikasi dalam bahasa Indonesia,” katanya kepada portal Astro Gempak.

Selain itu, Iedil atau nama sebenarnya, Tengku Iedilzuhrie Putra Tengku Alaudin, turut memberitahu bahawa loghat Indonesia yang sudah menjadi bahasa keduanya itu turut terbawa-bawa dalam percakapan hariannya ketika berada di sana.

“Malah, beberapa minggu lalu saya baru selesai pementasan teater Kepada Gema di Gedung Graha Bhakti Budaya, jadi masih terbawa-bawa dengan teknik percakapan bahasa Indonesia,” tambahnya lagi.

Biasalah tu, kalau dah berumah tangga dengan orang dari negara seberang, sedikit sebanyak pasti akan terikut ikut dengan cara percakapan mereka.

Selain Iedil, ramai lagi selebriti tempatan yang turut mendirikan rumah tangga dengan gadis dari seberang, antaranya, Ashraf Sinclair, Engku Emran, Ashraf Khalid dan ramai lagi.

Dalam masa yang sama, Iedil kini sedang berulang alik ke Kuala Lumpur bagi menjalani proses sesi latihan teater muzikal Ola Bola yang bakal dipentaskan pada Februari hadapan.

Selain itu, pelakon yang berasal dari Kuala Lumpur itu turut bakal muncul dengan tiga buah filem terbaharu pada tahun akan datang iaitu Mak dan One Two Jaga.

Bukan setakat itu, Ieril turut digandingkan bersama dengan Aeril Zafrel dan Siti Saleha dalam drama bersiri enam episod, berjudul Mandatori.

Mandatori merupakan drama bersiri crime thriller yang diadaptasi daripada novel hasil karya Ramlee Awang Murshid dan bakal ditayangkan di Astro First Eksklusif siaran 480 pada 14 Disember depan.

Jadi lepasni harapnya dah tak ada persoalan mengenai slanga sesetengah selebriti tempatan yang kedengaran daripada seberang. Bukan senang nak biasakan diri dekat negara orang kan. -MYNEWSHUB.CC / AH

Loading...