Hukuman Denda, Penjara Langgar PKP Mungkin Ditambah

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak menolak kemungkinan meningkatkan kadar kompaun serta hukuman dikenakan kepada mereka didapati sengaja ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya akan meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berbincang dengan peguam negara mengenai perkara itu.

Katanya, berbanding beberapa negara lain, jumlah denda dan hukuman di Malaysia masih rendah dan itu antara kemungkinan mengapa masih ramai rakyat yang ingkar arahan pihak berkuasa.

“Kalau kita lihat di Singapura misalnya, mulai 17 April, hukuman pesalah pertama adalah SGD10,000 (kira-kira RM30,000), kesalahan kedua SD20,000 (RM60,000).

“Di Korea Selatan kesalahan pertama sekali pun, denda RM35,000. Begitu juga di negara lain, di Indonesia pun, 300 juta rupiah (RM82,343.91).

“Jadi hukumannya adalah besar, yang ditetapkan adalah tinggi, melebihi RM10,000, cuma Malaysia setakat ini masih lagi RM1,000,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, hukuman penjara juga mungkin boleh ditambah sebagai pengajaran bagi memastikan tiada lagi rakyat negara ini yang ingkar PKP. – myMetro Online

Loading...