KUALA LUMPUR – Peguam yang juga Ketua Penerangan PAS Selangor, Dr Yusfarizal Yussoff berpandangan tindakan Peguam Negara (AG) mahu mendapatkan penjelasan mahkamah berhubung pengampunan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak adalah ‘non-justiciable’.
Menurutnya, perkara itu mempunyai duluan
undang-undang berdasarkan kes saman fitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
“Kalau AG selepas ini masih mahu meneruskan dengan permohonan mohon penjelasan, saya berhujah bahawa ia bukan sahaja ‘non-justiciable’ berdasarkan duluan (precedent) kes PMX v Sanusi, ia juga akan melanggar titah SPB YDPA,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Yusfarizal yang mewakili Sanusi dalam kes berkenaan menjelaskan, pihaknya pernah memohon Mahkamah Tinggi mentafsir ruang lingkup pengampunan penuh diberikan kepada Anwar, termasuk sama ada pengampunan tersebut turut mengetepikan sabitan jenayah.
Bagaimanapun, katanya, mahkamah menolak permohonan itu kerana tindakan mendapatkan tafsiran berkenaan boleh dianggap sebagai usaha mencabar pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya, walaupun pihak pembelaan hanya memohon tafsiran dan bukannya mencabar titah pengampunan, mahkamah tetap memutuskan perkara berkenaan tidak boleh dihakimi.
Beliau berkata, kes saman tersebut kemudiannya diselesaikan di luar mahkamah atas persefahaman kedua-dua pihak.
Sehubungan itu, Yusfarizal berpendapat tindakan Peguam Negara yang mahu mendapatkan penjelasan mahkamah berhubung pembayaran denda, maksud istilah discharge serta tahanan rumah Najib mempunyai persamaan dengan kes terdahulu.
Beliau turut merujuk titah Yang di-Pertuan Agong yang menurutnya jelas bahawa sebarang hujah mempertikaikan perintah pengampunan boleh menjurus kepada keingkaran terhadap titah berkenaan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Dr. Yusfarizal Yussoff


