Elaun Sara Hidup Nelayan Naik

KUALA LUMPUR – Elaun sara hidup nelayan akan ditingkatkan daripada RM200 kepada RM250 sebulan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ini menjadikan peruntukan keseluruhan sebanyak RM152 juta pada tahun 2020.

Menurutnya, dalam usaha membantu petani, nelayan dan pekebun kecil mempelbagaikan sumber pendapatan, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM150 juta sebagai galakan program integrasi tanaman seperti cili, nanas, kelapa, tembikai dan buluh.

“Kerajaan juga berhasrat menjadikan padi pulut sebagai produk perdana di Pulau Langkawi bagi meningkatkan pendapatan petani.

“Bagi menyokong inisiatif ini, kerajaan akan memperuntukkan RM30 juta untuk penghasilan beras pulut di Pulau Langkawi yang dijangka memberi manfaat kepada 1,200 petani,” katanya pada Pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi meningkatkan hasil padi, kerajaan akan meningkatkan peruntukan input padi sebanyak RM855 juta bagi tahun 2020 berbanding RM796 juta pada 2019 di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP).

“Di samping itu, kerajaan juga akan meneruskan subsidi padi bukit atau padi huma,” katanya.

Guan Eng berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM200 juta bagi Bantuan Musim Tengkujuh kepada pekebun kecil getah yang layak di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).

Beliau berkata, kerajaan memahami kesukaran yang dihadapi pekebun kecil disebabkan oleh harga getah rendah dan penurunan hasil pada musim tengkujuh.

“Kerajaan juga akan menyediakan RM100 juta untuk Insentif Pengeluaran Getah pada tahun 2020 bertujuan meningkatkan pendapatan pekebun kecil yang terjejas akibat kejatuhan harga getah,” katanya.

Loading...