IPOH – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendahului senarai 254 penerima darjah bintang dan pingat kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-63 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini.
Sultan Nazrin berkenan mengurniakan Al-Sultan Abdullah dengan Darjah Kerabat (DK).
Setiausaha Dewan Negara Perak, Datuk Ayop Hashim menerima Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri, manakala Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menerima Darjah Seri Pahlawan Taming Sari (SPTS) juga membawa gelaran Datuk Seri.
Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak akan berlangsung di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, pada 10 November ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Zainal Azman Abu Seman pula akan menerima Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk.
Baginda juga berkenan menganugerahkan Darjah Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk kepada 12 tokoh dan individu termasuk seorang penerima Darjah Kehormat.
Mereka adalah Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi; Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Peladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Britain, Datuk Mohamad Sadik Kethergany; Profesor Ulung Institut Asia Eropah Universiti Malaya (UM), Prof Ulung Rajah Rasiah; Pakar Perunding dan Ketua Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Dr Kavita M Bojwani dan Pengarah Pembangunan Negeri Perak, Zulazlan Abu Hassan.
Turut menerima DPMP ialah Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Inovasi Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia, Dr P Chandrawathani; Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim; bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Lim Eng Hock.
Bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki, Dr Mehander Singh Nahar Singh; Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perak, Mohamed Azni Mohamed Ali dan Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud H S Qattan yang menerima DPMP Kehormat.
Empat individu menerima Darjah Datuk Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan iaitu Pengarah Senggaraan Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, Kementerian Pertahanan, Brig Jen Mustaffa Othman; Ketua Penolong Pengarah (Tadbir Urus/Kepolisan Am), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azizi Mat Aris.
Pengarah Kanan Materiel Markas Tentera Laut, Kementerian Pertahanan, Laksamana Pertama Affenddy Suhaimi dan Ketua Jabatan Perubatan Tentera, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Brig Jen Dr Rozali Ahmad.
Tujuh individu menerima Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) manakala Ketua Editor dan Penerbitan BERNAMA, D R Arul Rajoo antara 23 penerima Darjah Mahkota Perak (PMP).
Selain itu, dua atlet boling padang Perak yang banyak menyumbang dan mewakili Perak dalam sukan berkenaan, Syairah Mat Isa dan Nur Fidrah Noh antara 95 penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK).
Sembilan orang menerima Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM), Ahli Mahkota Perak (AMP) 44 penerima, Pingat Pekerja Terpilih (PPT) 50 penerima dan enam penerima bagi Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).
Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Zahidi Zainuddin, berkata istiadat penganugerahan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri, Datuk dan Datuk Pahlawan akan diadakan pada 10 November ini, manakala anugerah darjah bintang dan pingat lain akan disempurnakan pada 16 November.
Majlis bacaan Yasin, majlis kesyukuran dan bacaan doa selamat sempena Hari Keputeraan Ke-63 Sultan Perak juga akan diadakan di semua masjid di seluruh negeri hari ini.
Majlis Santapan Diraja pula akan diadakan di Dewan Bankuet Istana Iskandariah pada jam 8 malam, pada 9 November ini.