11 Rakyat Malaysia Positif COVID-19 Di Luar Negara

PUTRAJAYA – Wisma Putra mengenalpasti seramai 11 rakyat Malaysia di luar negara dijangkiti COVID-19 sejak penularan wabak berkenaan.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hisammuddin Hussein, berkata daripada jumlah itu, sembilan adalah rakyat negara ini yang berada di Singapura manakala dua lagi di Jepun.

Katanya, dua daripada rakyat Malaysia yang berada di Singapura itu sudah dibenarkan keluar, tujuh lagi masih dirawat manakala dua rakyat Malaysia di Jepun sudah pulang ke negara ini.

Bagaimanapun, katanya, jumlah berkenaan akan disahkan dengan kementerian lain supaya tidak berlaku percanggahan dengan apa yang diumumkan.

“Apa yang kita umum adalah maklumat yang kita ada di Wisma Putra.”

Sementara itu, demi memastikan rakyat kita di luar negara dipantau rapi, saya ingin memaklumkan bahawa Wisma Putra melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia juga sentiasa mengemaskini rekod rakyat Malaysia di negara yang terjejas.

“Tolong daftar dengan kedutaan supaya senang untuk kita pantau. Jangan tunggu sampai keadaan terdesak baru nak mintak pertolongan. Penting untuk mereka bertanggungjawab memastikan nama mereka berada di kedutaan dan misi kita,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menterinya, Datuk Kamarudin Jaafar.

Hishammuddin berkata, sehingga semalam seramai 14,929 rakyat Malaysia di China terjejas teruk akibat COVID-19.

Katanya, selain di China, rakyat Malaysia di sembilan lagi negara yang turut terjejas adalah di Amerika Syarikat (23,179); Jepun (6,019); Korea Selatan (4,297); Perancis (2,401); Jerman (2,218); Switzerland (790); Itali (380) dan Sepanyol (150).

Pada masa sama, seramai 841 penjawat awam serta ahli keluarga mereka yang sedang berkhidmat di Perwakilan di 10 negara berkenaan.

Bagi memantau perkembangan terkini rakyat Malaysia di luar negara, Hishammuddin berkata beliau sudah mengarahkan timbalannya mengetuai satu pasukan khas.

“Pasukan khas ini penting dan Wisma Putra bersetuju untuk memperhebatkan lagi jabatan yang akan dipimpin oleh timbalan saya,” katanya.

Selain itu, Hishammuddin berkata, beliau akan menghadiri mesyuarat dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin jam 3 petang ini bagi memberi taklimat berkaitan isu berkenaan.

“Apa yang saya maklumkan dan bincangkan, akan dibentangkan pada PM hari ni, supaya dalam kita nak menangani virus corona ini, kita perlu pastikan koordinasi.

“Ia membabitkan koordinasi antara menteri dan kementerian terlibat. Keduanya, koordinasi untuk cari jalan terbaik dalam kalangan negara di luar sana.

“Ini saya dah mula dengan panggilan menteri luar negara berkenaan, dan kalau dapat koordinasi dengan Wisma Putra, kalau boleh kongsi langkah terbaik saya rasa kita akan ada peluang terbaik melawan virus ini,” katanya. – BH Online

Loading...