KUALA LUMPUR – Pemimpin Pakatan Harapan (PH), Dr Maszlee Malik mendakwa kedudukan Malaysia di mata dunia semakin pulih sehingga pemimpin negara luar berebut mahu bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau melakukan lawatan ke luar negara.
Maszlee mendakwa perkara utama dilakukan Anwar selepas pembentukan Kerajaan Madani adalah mengembalikan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia, selain memulihkan keyakinan terhadap ekonomi negara.
“Kalau kita lihat, perkara pertama dilakukan oleh Perdana Menteri memulihkan keyakinan pihak luar terhadap kita. Keduanya, memulihkan keyakinan ekonomi di Malaysia sendiri. Dan kita lihat pada hari ini, ekonomi kita baik,” dakwanya.
Beliau membuat dakwaan tersebut menerusi satu sesi podcast bagi mengulas pengampunan bersyarat yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Dalam pada itu, Maszlee mengakui usaha reformasi mungkin belum mencapai 100 peratus seperti diharapkan, namun mengingatkan perubahan tidak boleh berlaku secara mendadak dan memerlukan pelaksanaan secara berperingkat.
“Ekonomi kita pulih dan pelabur berbondong-bondong masuk. Kita lihat Perdana Menteri pun ketika pergi ke negara luar, berebut pemimpin nak jumpa,” dakwanya lagi.
Maszlee turut mengaitkan kemakmuran ekonomi Malaysia dengan pelbagai bantuan kerajaan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta bantuan persekolahan.
Katanya, perubahan itu memberi kesan kepada persepsi antarabangsa apabila Malaysia kembali dilihat mempunyai hala tuju politik dan ekonomi yang lebih stabil serta mampu menarik pelaburan, perniagaan dan pelancongan.
“Negara-negara dunia mula lihat Malaysia ‘on the right track’. Kita nak melabur, datang Malaysia. Nak berniaga, datang Malaysia. Nak melancong, datang Malaysia.
“Mereka sudah melupakan apa yang berlaku sebelum 2018 apabila nama Malaysia menjadi begitu buruk di seluruh dunia,” dakwanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Rakaman Video Podcast: Akaun Media Sosial Dr Maszlee Malik


