Sultan Johor Berangkat Ke Istiadat Askar TSN Johor

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, berkenan berangkat ke Istiadat Pertukaran Panji Askar Timbalan Setia Negeri (TSN) Johor di Dataran Istana Besar di sini, pagi ini.

Sultan Ibrahim yang juga Komandan TSN Johor, tiba pada jam 8.25 pagi dengan diiringi Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah. Turut berangkat, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim dan isteri, Che’ Puan Khaleeda Bustamam.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Perbarisan Pertukaran Panji Askar TSN Johor membabitkan tujuh pegawai dan 190 anggota itu diketuai Mejar Jalalludin Hamsan.

Pertukaran Panji TSN Johor itu adalah yang ketiga dalam sejarah 130 tahun penubuhan pasukan berkenaan yang diasaskan pada 1886.

Penganugerahan panji pertama dilakukan pada 11 Mei 1916 sempena ulang tahun ke-30 TSN Johor sebelum pertukaran kedua pada 20 Ogos 1986 sempena 100 tahun pasukan berkenaan. – BHarian Online

Loading...