KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh hari ini mengesahkan kes seorang lelaki warga Korea Utara meninggal dunia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Beliau berkata polis bagaimanapun masih menyiasat identiti serta punca kematian lelaki tersebut.
Mohmad dihubungi Bernama untuk mengesahkan laporan berita asing hari ini yang menyebut Kim Jong Nam, abang tiri lelaki pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un, dibunuh di Malaysia semalam.
Laporan agensi berita Reuters yang memetik sumber kerajaan Korea Selatan dan Polis Malaysia berkata lelaki itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dari KLIA.
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed ketika dihubungi Bernama malam ini berkata, polis Malaysia masih menyiasat kes itu.
Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, SAC Asmawati Ahmad dalam responnya kepada Bernama menerusi catatan ringkas aplikasi WhatsApp berkata: “The deceased is a male Korean (Si mati ialah seorang lelaki Korea) berdasarkan pasport beliau.
“Identity dan cause of death is yet to be ascertained (Identiti dan sebab kematian belum dipastikan). Polis request for post-mortem to be done (Polis minta bedah siasat dilakukan).
“We have recorded initial report of the death. (The) deceased sought treatment at the KLIA clinic but was later referred to the hospital (Kami telah merekod laporan awal kematian. Si mati mendapatkan rawatan di klinik KLIA, tapi kemudian dirujukkan ke hospital),” kata beliau. – BERNAMA