Maritim Malaysia Rampas 228 Ikan Yu, 300 Kilo Hasil Laut

SEPANGGAR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas sebanyak 228 ikan yu harimau serta 300 kilogram pelbagai hasil laut menerusi Op Sejahtera yang dilakukan berhampiran perairan Pulau Mengalum, selama tiga hari bermula Selasa lalu.

Pegawai Memerintah Kapal Maritim (KM) Arau, Kepten Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, operasi tersebut turut menahan 37 individu termasuk tiga tekong bot nelayan warganegara Vietnam serta menyita tiga buah bot milik warga asing terbabit.

“Pasukan Maritim Malaysia telah menjalankan operasi ini sejak beberapa hari lalu dan berjaya menahan serta merampas pelbagai jenis hidupan laut yang ditemukan dalam ketiga-tiga bot berkenaan.

“Bagaimanapun, nilai keseluruhan hasil laut itu belum dikenalpasti kerana siasatan masih dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Zawawi berkata, dalam operasi pertama Selasa lalu, sebanyak 19 awak-awak ditangkap kira-kira 111.2 kilometer dari Pulau Mengalum manakala 18 lagi ditahan semalam daripada dua buah bot berlainan.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan gagal menunjukkan lesen perikanan sah untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara ini.

“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana gagal mempunyai lesen sah untuk melakukan aktiviti perikanan di perairan negara dan Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Loading...