Kota Kinabalu: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah merampas pelbagai jenis makanan sejuk beku tanpa dokumen sah dan menahan 16 individu menerusi Op Taring Chiller yang dijalankan secara serentak seluruh negeri, kelmarin.
Operasi bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas pelbagai jenis daging ayam, itik daging lembu, ikan, sotong serta produk sejuk beku lain dengan nilai keseluruhan rampasan RM4.57 juta.
Komander PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, sembilan serbuan dilaksanakan oleh pegawai dan anggota dari Unit Perisikan Briged Sabah PGA.
Katanya, sembilan serbuan dilaksanakan di beberapa daerah iaitu Kota Kinabalu, Penampang, Keningau, Sandakan, Tawau, Lahad Datu, dan Semporna.
“Operasi yang dijalankan secara serentak di seluruh negeri menahan seramai 16 individu iaitu 11 lelaki dan empat wanita warga tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia.
“Antara kesalahan yang dikesan adalah mengikut Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan 2015, Akta Makanan 1983 Peraturan 38(1)(G) Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan Peraturan 38(1) Tidak mematuhi kehendak yang berhubungan dengan penyimpanan makanan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan membabitkan sembilan serbuan itu adalah bernilai RM4.57 juta.
“Operasi Taring Chiller ini dijalankan bagi memastikan masyarakat setempat sentiasa memperoleh bekalan makanan sejuk beku yang sihat serta selamat.
“Selain itu, produk sejuk beku yang telah mendapat status halal daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM).
Beliau berkata, operasi ini juga dijalankan bagi mengekang kemasukan produk sejuk beku yang diseludup masuk dari negara luar.
-Harian Metro