PERJUANGAN Melayu melibatkan kedudukan istimewa seperti ditulis dalam Perlembagaan Persekutuan terus dikutuk dan diberi label negatif seperti perkauman dan ekstremis.
Apa yang dilakukan sejak sekian lama ini semakin terbuka dan berani sejak Pakatan Harapan (PH) memerintah, hingga institusi agama Islam yang ada mahu dihapus dan ditumpulkan.
Pemimpin-pemimpin PH dan penyokong mereka terdiri daripada akademik dan aktivis sama-sama memberi gambaran buruk ini.
Mereka memberi amaran bahawa ekstremis ketuanan Melayu akan lebih ganas selepas kekalahan UMNO dalam pilihan raya lalu.
Mereka bercakap seolah-olah perjuangan Melayu ini sesuatu yang subversif dan pinggiran kerana sudah tidak diterima lagi.
Ini mereka lakukan untuk memberi gambaran buruk segala yang berkaitan Melayu hingga orang Melayu rasa rendah diri dan malu untuk bercakap tentang hak dan sejarah mereka sendiri.
Mereka telah berjaya memburukkan nama UMNO hingga ramai orang Melayu malu dikaitkan dengan parti ini, apatah lagi hendak mengaku menjadi ahli parti.
Kesan kekalahan dalam pilihan raya lalu juga memberi kesan dan menambahkan rasa rendah diri dan malu ini, hingga ramai yang dibelenggu rasa malu dan ada yang rasa bersalah.
Ini mereka lakukan secara berterusan melalui semua media yang mereka ada, daripada media sosial hingga media internet yang berpihak pada mereka.
Terbaru mereka berkata yang orang Melayu sukar menerima apa yang disifatkan politik baharu dan masih mahu bersikap perkauman.
Sikap yang mereka dakwa perkauman dan tidak terbuka ini ialah setiap suara yang menentang agenda mereka mahu meminggirkan Melayu daripada arus perdana Malaysia.
Label jahat ini mereka akan terus sebarkan dengan agresif supaya orang Melayu terus tertunduk merendah diri dan malu untuk bercakap tentang kepentingan Melayu.
Sebelum ini pun sudah ada yang termakan dakyah mereka hingga malu untuk mengaku “Melayu pertama, kedua rakyat Malaysia,” yang didakwa rasis.
Mereka mahu orang Melayu mengetepikan identiti Melayu dan mengaku “Malaysian first,” sedangkan mereka sentiasa sedar kepentingan kaum mereka.
Hakikatnya, mereka sendiri menunjukkan sikap perkauman dan liberal yang melampau hingga menghina orang Melayu.
Orang Melayu mesti menyedari hakikat ini dan terus berani bersuara dan tidak berasa merendah diri. – Mynewshub.tv

