Kes Liwat II Anwar Perlu Dijelaskan Kepada Rakyat

KUALA LUMPUR – Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa penghakiman kes liwat II, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan perlu dijelaskan kepada orang ramai bagi mengelakkan salah faham.

Muhammad Shafee, yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya dalam kes tersebut, berkata oleh kerana kes itu melibatkan kepentingan awam maka penghakiman itu perlu dijelaskan dengan betul supaya kebenaran dapat diketahui.

Menurutnya tindakan itu dilakukan ekoran cubaan pihak-pihak tertentu untuk mempolitik dan meracuni pemikiran rakyat berhubung keputusan itu dan akhirnya mempersoalkan kredibiliti dan kebebasan badan kehakiman.

“Ia adalah demi kepentingan keadilan bahawa kebebasan dan integriti badan kehakiman perlu ditegakkan,” katanya dalam kenyataan saksi yang dikemukakan kepada mahkamah.

Muhammad Shafee, 63, memberi keterangan demikian dalam saman fitnahnya terhadap Majlis Peguam, peguam Tommy Thomas, bekas hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri V.C. George dan bekas presiden Majlis Peguam, Christopher Leong.

Dalam saman tersebut, Muhammad Shafee mendakwa pada 28 Februari tahun lepas, Thomas, dengan disokong oleh George, telah menerbit dan mengemukakan usul untuk membincangkan kelakukannya sebagai Timbalan Pendakwa Raya dalam kes rayuan Anwar di Mahkamah Persekutuan pada mesyuarat agung tahunan Majlis Peguam pada 14 Mac lepas.

(Muhammad Shafee dilantik oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Gani Patail menerusi fiat (kebenaran) untuk mengendalikan rayuan terhadap Anwar di Mahkamah Persekutuan. Pelantikan itu diperuntukkan di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah dan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan).

Dalam keterangan hari ini, Muhammad Shafee menegaskan bahawa beliau dijemput untuk memberi ceramah bertajuk ‘Dialog bersama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah’ bagi menjelaskan penghakiman itu kepada orang ramai di Kelana Jaya pada 17 Feb tahun lepas iaitu tujuh hari selepas keputusan Mahkamah Persekutuan.

“Ada orang di luar sana yang mahu penjelasan yang lebih baik kerana terdapat pelbagai pihak memberi penjelasan berbeza. Lagipun, kes ini telah dimuktamadkan dan tiada isu ‘sub judice’ lagi.

“Jadi saya mengambil pendirian untuk menjelaskan kes ini dan penghakimannya,” katanya.

Beliau berkata dialog itu bukan atas inisiatifnya tetapi dijemput untuk memberi ceramah dan beliau merasakan dapat membantu memperbetulkan beberapa salah faham berhubung kes itu.

Muhammad Shafee berkata beliau tidak pernah berniat untuk mengutuk Anwar tetapi sebaliknya penjelasan berhubung penghakiman itu bertujuan menjawab semua keraguan orang ramai.

Ketika disoal balas oleh peguam Tommy, Datuk S. Ambiga, Muhammad Shafee mempertahankan kenyataannya mengenai penghakiman oleh Mahkamah Persekutuan itu adalah untuk mendidik dan memaklumkan kepada orang ramai mengenai apa yang berlaku di mahkamah.

Beliau menolak cadangan Ambiga bahawa beliau telah melancarkan serangan peribadi apabila melabelkan Anwar sebagai ‘pengecut’ selepas bekas ketua pembangkang itu memilih untuk membuat kenyataan dari kandang tertuduh.

Pendengaran kes itu di hadapan Hakim Datuk Hanipah Farikullah disambung esok. – BERNAMA

[wpdevart_youtube]sVOQX0hOuVo[/wpdevart_youtube]

Leave a Reply