ALOR SETAR – Jersi biru serta kemenangan perlumbaan peringkat masing-masing menjadi misi peribadi Anuar Manan dan Mohd Adiq Husainie Othman pada Le Tour de Langkawi (LTdL) yang bermula di Kangar, Perlis, esok.
Anuar, 29, yang dilantik selaku kapten Terengganu Cycling Team (TSG), mengintai peluang meraih jersi biru selaku Raja Pecut buat kali kedua selepas 2010 selain menyasarkan kemenangan peringkat buat kali kedua pada LTdL edisi ke-21 ini.
Sebagai rekod Anuar merupakan satu-satunya pelumba Malaysia yang meraih kemenangan pada peringkat kelima LTdL 2010 sejauh 111.5km dari Muar ke Port Dickson ketika mewakili pasukan Geumsan Ginseng Asia.
“Peluang memenangi jersi biru adalah cerah sekiranya saya dapat memenangi peringkat ketiga dan ke atas kerana dua peringkat terdahulu melibatkan banyak zon pendakian,” katanya kepada pemberita pada sidang media praperlumbaan LTdL 2016 di sini, hari ini.
Pada masa sama, anak jati Kuala Ibai, Kuala Terengganu itu mengakui saingan sengit bakal diterima daripada pakar pendakian daripada pasukan Pro Benua memandangkan peringkat awal LTdL 2016 melibatkan zon pendakian.
Beliau bagaimanapun yakin kehadiran dua pelumba muda – Mohd Shahrul Mat Amin, 26, dan Nur Amirul Fakhruddin Marzuki, 24, yang mempunyai kemahiran dalam zon pendakian akan membantu TSG melakar keputusan positif pada saingan kali ini.
“Nur Amirul contohnya adalah pelumba berpengalaman dalam zon pendakian kerana pernah memenangi jersi merah selaku Raja Bukit pada dua peringkat Jelajah Sharjah 2015 dan Jelajah Malaysia baru-baru ini. Jadi tidak mustahil beliau boleh mengulangi pencapaian itu,” kata Anuar.
Bagi Mohd Adiq Husainie, 24, yang turut mewakili TSG, memenangi perlumbaan peringkat berbanding jersi putih selaku pelumba terbaik Asia adalah misi utamanya selain memperbaiki kedudukan ke-39 yang diraihnya pada LTdL 2015.
“Matlamat pasukan adalah untuk menang peringkat perlumbaan. Tahun lepas saya dapat meraih kedudukan ketiga pada peringkat kelima…Insya-Allah, tahun ini saya akan cuba raih kedudukan podium sekali lagi,” jelas anak jati Terengganu itu.
Peringkat pertama LTdL 2016 dari Kangar ke Baling sejauh 166.6km esok melibatkan tiga zon pecutan di Tunjang, Kuala Nerang dan Sik manakala tiga zon pendakian pula di Nami, Gulau dan Sik. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]2AkuWelXDWQ[/wpdevart_youtube]