KUALA LUMPUR : Taklimat Khas oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang diadakan Sabtu ini, akan menyentuh mengenai persiapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 pada November ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii, berkata mesyuarat UMNO cawangan berlangsung bermula bulan ini sehingga PAU pada November depan, justeru Ahmad Zahid akan menyampaikan taklimat mengenai fokus mesyuarat berkenaan kepada pilihan raya.
“Taklimat itu antaranya bagi persiapan mesyuarat. Kita akan bermesyuarat sehingga hujung tahun ini tanpa ada pemilihan parti, jadi ia akan dilaksanakan tanpa agenda lain kerana kita mahu fokus pada PRU-15.
“Saya fikir presiden akan memberikan taklimat kepada akar umbi mengenai perkara itu dan persediaan kita menjelang PRU-15,” katanya kepada BH, hari ini.
Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, melalui Twitternya, memaklumkan UMNO akan mengadakan sesi Taklimat Khas Presiden bersama semua pimpinan parti itu, termasuk ahli jawatankuasa (AJK) bahagian Sabtu ini.
Katanya, taklimat oleh Ahmad Zahid, yang akan diadakan pada jam 2 petang di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) itu adalah mengenai isu semasa terkini, namun tidak memperincikannya.
Sumber memberitahu BH, mesyuarat Biro Politik UMNO, malam kelmarin, antara lain menetapkan fokus topik penting yang akan disentuh pada taklimat itu, termasuk kesiapsiagaan diperlukan untuk UMNO mendepani PRU-15 dan penjelasan lanjut susulan keputusan Mahkamah Persekutuan, Selasa lalu yang mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Mengulas mengenai isu berkaitan Najib, selain gesaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya PRU-15 diadakan segera, yang mungkin dibangkitkan pada taklimat itu, Razlan berkata, perkara besar kebiasaannya tidak dibincangkan secara terbuka seperti dalam taklimat berkenaan.
“Mengenai mempercepat PRU-15 ini, saya tidak pasti tetapi ia bukan masalah cepat atau lambat. Ini memang sudah masanya untuk kita membuat pilihan raya, tiada isu cepat atau lambat,” katanya.
-Berita Harian


