KUALA KANGSAR – Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim amat menghargai kehadiran rakyat jelata yang keluar beramai-ramai menyambut keberangkatan baginda berdua sepanjang Istiadat Menziarah Makam bersempena pertabalan Sultan Perak XXXV.
Sultan Nazrin Shah bertitah mereka sanggup menahan panas matahari dan bersedia dibasahi hujan di sepanjang perjalanan darat serta sungai, di setiap tempat baginda berdua menziarah dan di setiap majlis yang diadakan.
“Ada di antara mereka mendukung bayi kecil dan ada dalam kalangan mereka terdiri daripada warga tua yang sudah uzur. Kehadiran rakyat jelata adalah hadiah amat berharga kepada Beta dan Raja Permaisuri.
“Kepada Allah Subhanahu Wata’ala hamba-Mu pohonkan rahmat pertolongan untuk membolehkan kasih sayang rakyat itu dibalas dengan limpahan rezeki dari Mu kepada mereka dan negeri ini dianugerahi kemakmuran serta Sultannya senantiasa mendapat keberkatan dan petunjuk dari Mu jua Ya Allah,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Menutup Kerja bersempena pertabalan baginda sebagai Sultan Perak XXXV di Istana Iskandariah hari ini.
Pertabalan Sultan Perak XXXV bermula dengan istiadat meletak kerja pada 3 Mei, Tabal Adat pada 6 Mei diikuti Tabal Pusaka dan Bersiram Tabal pada 7 Mei, Menziarah Makam serta Beting Beras Basah sebelum berakhir dengan istiadat menutup kerja hari ini.
Sultan Nazrin Shah bertitah dalam tempoh Istiadat Pertabalan ini, baginda berpeluang menziarah 44 makam, bermula dengan Makam Tok Temong pada 8 Mei dan berakhir dengan Makam Marhum Durian Sebatang, Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah 1, Sultan Perak ke-22, pada 13 Mei.
Di samping makam Sultan terdahulu, baginda turut menziarah makam-makam Raja Muda, Raja Di-Hilir, Raja Bendahara, Raja Bergelar dan pembesar tertentu yang tercatat dalam sejarah mempunyai peranan penting dengan institusi Kesultanan Perak.
Selepas menjejakkan kaki di Beting Beras Basah pada 14 Mei, Sultan Nazrin Shah turut menziarah makam nenda baginda Toh Puan Khatijah dan makam Raja Baharom Shah di Batu Gajah.
Baginda bertitah di dalam Kitab Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali mengingatkan bahawa menziarahi kubur digalakkan untuk mengingati mati dan mengambil iktibar; malah menziarahi kubur orang yang soleh lebih lagi digalakkan untuk mendapat iktibar dan tabaruk.
Sultan Nazrin bertitah menziarah makam adalah sebahagian daripada istiadat yang telah diamalkan turun-temurun oleh Sultan yang baharu ditabalkan dan pengalaman itu telah menginsafkan baginda kepada tiga perkara.
“Pertama: darjat dan jawatan di dunia adalah sementara sifatnya, setiap insan akan dikembalikan kepada asal usul kejadiannya oleh Allah yang Maha Pencipta, dari tanah kita dicipta kepada tanah kita kembali.
“Kedua: setiap seorang Sultan terdahulu telah berjasa dan masing-masing mencipta sejarah pemerintahan.
“Oleh itu, Sultan yang terkemudian tidak wajar bersifat membesar diri, membelakangi mereka, tetapi wajib mengambil pengajaran daripada pengalaman Sultan terdahulu untuk dijadikan pedoman,” titah baginda.
Ketiga, titah Sultan Nazrin, pengalaman menjejak kaki di Beting Beras Basah dan pengalaman menziarahi makam membawa minda baginda mengimbas peristiwa silam, betapa susah payah Sultan-sultan terdahulu dengan kemudahan yang sangat terbatas, mengasaskan sebuah negeri dan sebuah pemerintahan.
“Kejayaan marhum-marhum itu membangunkan sebuah negeri berdaulat, negeri beraja-rakyat bersultan yang warganya terdiri daripada segala lapisan rakyat yang begitu pelbagai tetapi hidup bersatu di bawah payung naungan pemerintahan seorang Sultan.
Jasa bakti marhum-marhum itu tidak harus dimusnahkan,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah justeru, adalah menjadi tanggungjawab besar baginda untuk memberikan payung naungan pemerintahan yang dapat menyatukan rakyat yang berbilang agama, berbilang kaum, berbilang budaya dari pelbagai latar belakang sosial, ekonomi, politik dan usia agar terus kekal bersatu, hidup dalam harmoni dan saling bekerjasama memakmurkan negeri Perak Darul Ridzuan.
Baginda turut menzahirkan kesyukuran di atas pengajaran yang diperoleh daripada pengalaman melawat makam dan menjejakkan kaki di Beting Beras Basah.
“Hari ini selesailah segala acara istiadat pertabalan. Beta menzahirkan penghargaan kepada Paduka Ayahanda Raja Muda dan Paduka bonda Raja Puan Besar serta kepada Paduka kakanda Raja Di-Hilir dan Raja Puan Muda yang telah bersama mempamerkan semangat bersama untuk memulihara kedaulatan takhta Kerajaan Perak Darul Ridzuan
“Penghargaan turut dizahirkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, kepada Yang Amat Berbahagia Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja dan Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri yang telah memberikan pimpinan berkesan kepada ahli-ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada Orang Besar Negeri dan kakitangan kerajaan menguruskan pelbagai acara.
“Kepada setiap ahli jawatankuasa dan kepada setiap pihak yang terlibat Beta menzahirkan ucapan terima kasih,” titah baginda.
Sultan Nazrin Shah bertitah anggota jawatankuasa dan setiap pihak yang terlibat telah menunjukkan komitmen memenuhi tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan ia membuktikan jalinan kerjasama yang tinggi antara pelbagai jabatan, agensi dan individu dalam semangat berat sama dipikul untuk mencapai satu matlamat yang sama, menghasilkan yang terbaik.
Baginda bertitah semangat kerjasama dan kesatuan matlamat ini hendaklah terus dipupuk dan dihidupkan sepanjang masa.
“Semangat kerjasama dan kesatuan matlamat ini hendaklah diterapkan sebagai budaya kerja untuk memajukan negeri Perak Darul Ridzuan.
“Sebarang kekurangan, sebarang kecacatan adalah sebahagian daripada sifat semula jadi kelemahan insan untuk membuktikan bahawa hanya Allah SWT yang memiliki sifat-sifat kesempurnaan,” titah baginda.
Sultan Nazrin Shah kemudian mengisytiharkan bahawa segala kerja-kerja berkaitan Pertabalan Sultan Perak XXXV telah selamat disempurnakan. – BERNAMA

