KOTA BAHARU – Jabatan Penjara Malaysia berjaya mengurangkan kadar residivis atau penghuni berulang kali masuk penjara apabila hanya mencatatkan 0.48 peratus kes berulang melalui pelaksanaan pelbagai program termasuk sistem parol, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Zulkifli Omar.
Beliau berkata peratusan tersebut amat rendah berbanding negara lain.
“Hanya 0.48 peratus kes pengulangan berlaku di negara ini menunjukkan kejayaan pelbagai program yang dilaksanakan.
“Antaranya termasuk sistem parol, rumah perantaraan selama tiga bulan dan program penglibatan penghuni dengan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Mangsa Banjir di Jabatan Penjara Pengkalan Chepa di sini hari Isnin.
Zulkifli berkata kesemua program yang dilaksanakan itu bagi memastikan kesinambungan program pemulihan dan penyeliaan yang lebih berkesan dengan harapan dapat memberikan peluang kedua kepada banduan untuk meneruskan kehidupan melalui proses integrasi semula dalam komuniti.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sehingga kini terdapat 51,000 orang banduan di seluruh negara dengan 1,043 orang adalah banduan akhir.
“Daripada jumlah itu 46 peratus atau 23,460 orang banduan adalah terdiri daripada banduan yang terbabit dengan kesalahan berkaitan dadah. Ia satu jumlah yang besar,” katanya.
Pada majlis tersebut, Zulkifli menyampaikan barangan elektrik sumbangan Persatuan Orang Kota Baharu (POKB) kepada 71 anggota daripada Jabatan Penjara Pengkalan Chepa, Pusat Pemulihan Akhlak Machang dan Parol Negeri Kelantan yang terjejas dengan bencana banjir yang berlaku Disemper tahun lepas.
Turut hadir Presiden POKB Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad.
Seorang penerima sumbangan, Wan Izani Wan Abdul Rahman berkata bantuan tersebut meringankan bebannya untuk menyediakan semula keperluan keluarganya selepas semua peralatan rumah musnah dalam kejadian banjir luar biasa itu.
“Banjir tahun lalu berlaku begitu pantas dan saya cuma sempat menyelamatkan anak saya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) dan isteri. Semua harta benda lain musnah selepas rumah ditenggelami banjir sehingga melepasi bumbung,” katanya yang menetap di Kampung Pasir Pekan, Tumpat. – BERNAMA

