KUALA LUMPUR — Kejayaan mencatat pencapaian melebihi
sasaran menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi
Ekonomi (ETP) membuktikan program tersebut memberi impak yang besar kepada
rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata pencapaian keseluruhan yang dicatat oleh GTP iaitu sebanyak
105 peratus membuktikan bahawa pencapaian dalam tujuh Bidang Keberhasilan Utama
Negara (NKRA) itu telah mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Sama ada inisiatif mengadakan infrastruktur, menaik taraf jalan-jalan
kampung, menyediakan bekalan air bersih dan sebagainya ataupun menaik taraf
pendidikan dengan sejumlah besar sekolah-sekolah, meningkatkan pendapatan
sejumlah besar 170,000 penduduk luar bandar termasuklah menyediakan sistem
pengangkutan awam yang lebih berkesan.
“Kesemua ini membuktikan bahawa sasaran yang ditetapkan itu telah dicapai
dan ia sesuatu yang membanggakan,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan
Laporan Tahun 2014 GTP dan ETP, malam ini.
Laporan tersebut dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di
Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini.
Muhyiddin berkata tumpuan kerajaan kini ialah mempertingkatkan lagi sistem
penyampaian perkhidmatan awam.
Katanya tumpuan akan diberikan di setiap peringkat sama ada kementerian
atau agensi supaya dalam tahun-tahun akan datang terutamanya lima tahun
menjelang 2020, sistem penyampaian itu akan mencatat kemajuan yang lebih
memberangsangkan.
“Untuk tujuan itu, kita perlu dapatkan sokongan dan kerjasama daripada
rakyat dan berikan apa sahaja input tentang langkah-langkah yang sudah pun kita
ambil.
“Jika ada kelemahan, kita akan perbaiki, dan di samping itu kita akan
menetapkan sasaran yang lebih tinggi untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata bagi mempertingkatkan pencapaian ETP,
kerajaan perlu memastikan penyertaan swasta dalam meningkatkan pelaburan dan
sebagai penjana penting ekonomi negara.
Untuk itu, katanya perhubungan antara kerajaan dan swasta perlu terus
diperkukuh dan mengatasi segala halangan dan sekatan yang boleh menjejaskan
matlamat tersebut.
“Sebagai contoh kita ada PEMUDAH (Pasukan Petugas Khas Pemudahcara
Perniagaan), PEMANDU (Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan) dan inisiatif
baharu yang kita ambil supaya matlamat kita untuk meningkatkan pembangunan
ekonomi ini akan terus tercapai,” katanya.– BERNAMA