KUALA LUMPUR — Program Transformasi Kerajaan (GTP)
berada pada landasan yang tepat dan memberi impak positif kepada jutaan rakyat
Malaysia sepanjang kembara lima tahunnya bermula 2010, kata Menteri di Jabatan
Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala.
Beliau berharap momentum kejayaan GTP sehingga 2014 akan terus kekal untuk
tahun-tahun berikutnya.
“Kami telah mencatat kemajuan yang signifikan sepanjang lima tahun lepas,
malah dalam beberapa bidang, kami mencipta perubahan transformasi yang amat
besar,” katanya dalam Laporan GTP Tahun 2014.
Idris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan
Pelaksanaan (Pemandu) berkata, lima tahun yang telah berlalu menuntut daya tahan
rakyat dan komitmen kerajaaan melaksanakan agenda nasional itu.
Dengan pencapaian itu sehingga 2014, kerajaan akan membawa GTP ke tahun 2015
dengan berusaha mengekalkan dan memperkasakan mementum program itu, katanya dan
menurutnya tahun 2015 juga akan membuka halaman baharu dalam pelan hala tuju GTP
sehingga menjelang 2020.
Bagi laporan tahunan GTP 2014, pencapaian beberapa individu daripada jutaan
rakyat Malaysia yang menerima impak positif GTP turut dikongsi kisah hidup
mereka.
Sebagai contoh, Idris membawa kisah seorang bekas pekerja kilang, Asbdullah
Ali, 43, yang meraih manfaat daripada program Azam Tani dengan menjadi seorang
pembekal telur dan daging puyuh yang cemerlang.
Usahawan dari Nibong Tebal itu yang dahulunya berpendapatan sekitar RM900
sebulan hasil kerja kilang kini meraih keuntungan kasar sekitar RM6,000 sebulan
setelah menyertai program Azam Tani yang merupakan inisiatif Bidang Keberhasilan
Utama Negara (NKRA).
Beliau meninggalkan kehidupan yang sukar apabila menerima bantuan modal
sebanyak RM9,000 daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)pada
2013 di bawah NKRA Mempertingkat Taraf Kehidupan Isi Rumah Berpendapatan Rendah.
Asbdullah adalah antara 168,483 rakyat Malaysia yang menerima manfaat
daripada program 1 AZAM yang diperkenalkan oleh kerajaan sejak 2011.
Turut diketengahkan kisah seorang pelajar di negeri Perak yang
pemalu bernama Nor Izzati Sabrina yang bercita-cita untuk menjadi peguam namun
beliau berhadapan dengan masalah bahasa dan komunikasi.
Namun segalanya berubah apabila pelajar itu memasuki SK Marian Convent, Ipoh
yang bertaraf sekolah berprestasi tinggi (SBT) yang telah berjaya membina
keyakinan dirinya dan mengasah kemahiran komunikasi dan sosial sehingga
akhirnya terpilih mewakili sekolah dalam pertandingan ‘choral speaking.’
Nor Izzati Sabrina adalah antara ramai lagi pelajar yang diberi sokongan
oleh Kementerian Pendidikan melalui program Saringan Literasi dan Numerasi
(Linus) bagi para pelajar tahun satu hingga tiga.
Hasil program yang memberi penekanan terhadap penguasaan bahasa Malaysia dan
Inggeris serta numerasi itu, indeks terkini menunjukkan 88 peratus pelajar tahun
tiga mahir dalam penguasaan kedua-dua bahasa itu dan 98.9 peratus berkemahiran
numerasi.
Idris turut berkongsi kisah pembinaan sebatang jalan raya sepanjang 60
kilometer yang menghubungkan pekan Sook dan pekan Sinua di Sabah yang telah
mengubah penghidupan 10,000 penduduk sekitarnya yang terdiri daripada kaum Murut
dan Dusun.
Antara manfaat besar pembinaan jalan itu ialah ia memudahkan para pelajar
daripada 18 buah sekolah sepanjang jalan itu berulang alik dengan selamat dan
sempurna berbanding semasa menggunakan jalan hutan dan jalan kerikil.
Pembinaan jalan itu adalah sebahagian daripada 4,553 kilometer jalan raya
yang dibina untuk kemudahan masyarakat luar bandar di bawah NKRA
Mempertingkatkan Pembangunan Luar Bandar yang diperkenalkan pada 2010.
Selain itu di bawah pelaksanaan pembangunan luar bandar, sebanyak 336,266
isi rumah juga diberi akses kepada bekalan air bersih dan 129,595 isi rumah
menikmati akses bekalan elektrik.
Kisah-kisah yang dipaparkan dalam laporan itu adalah sebahagian kecil
daripada kejayaan sebenar GTP sejak pelaksanaannya dan koleksi pencapaian itu
akan terus membesar dari tahun ke tahun.
GTP turut memberi fokus ke arah penambahbaikan sistem pengangkutan awam
secara menyeluruh di kawasan bandar seperti perkhidmatan KL Monorail, Transit
Aliran Ringan (LRT) dan KTM Komuter selain bas RapidKL dan GO-KL untuk
melengkapi infrastruktur Transit Aliran Massa (MRT) yang sedang dilaksanakan.
Sebahagian kecil contoh itu menjadi asas bagi kerajaan meneruskan program
GTP pada 2015 dengan semangat baharu demi kepentingan rakyat.– BERNAMA