KUALA LUMPUR – Pemuda Gerakan menggesa kerajaan Selangor tidak bermain wayang dalam isu gereja di Taman Medan, Petaling Jaya di Selangor.
Ketuannya, Tan Keng Liang berkata, walaupun Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menyelar demonstrasi penduduk ke atas gereja itu, tetapi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mendakwa gereja itu berstatus haram.
“Pemuda Gerakan menuntut Azmin menjelaskan tentang pengumuman MBPJ gereja itu tidak sah kerana pihak berkuasa tempatan dibawah kuasa kerajaan negeri.
“Kerajaan Selangor sepatutnya menegakkan kebebasan beragama di negara ini seperti yang dijamin oleh Artikel 11 Perlembagaan Negara. Kami mahu kerajaan Selangor jujur dalam menyelesaikan isu ini,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kata Keng Liang, tindakan MBPJ mengisytiharkan gereja di Taman Medan itu tidak sah kerana tiada permit akan hanya mengeruhkan lagi keadaan yang sedang berlaku.
MBPJ semalam mengumumkan gereja yang terpaksa menurunkan tanda salibnya selepas bantahan penduduk Taman Medan Ahad lalu tidak mempunyai permit untuk beroperasi sebagai sebuah pusat ibadat.
Pada Ahad lalu, lebih 100 penduduk berkumpul di luar gereja baharu itu untuk menuntut agar salib yang dipasang di tingkat atas unit lot rumah kedai berkenaan diturunkan. – mynewshub.cc
https://www.youtube.com/watch?v=T5exhQXHog0

