TUMPAT – Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 yang akan dilancarkan Selasa ini, bakal meningkatkan lagi prestasi pencapaian institusi pengajian tinggi di negara ini.
Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata di bawah pelan berkenaan, pelajar akan mendapat pendidikan yang lebih baik berikutan kualiti pendidikan terus dipertingkatkan.
“Kesemua universiti kita yang besar-besar meningkat prestasinya dari 2013 ke 2014 dan dalam tahun 2015 ini saya yakin prestasi universiti akan meningkat lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Misi Pembinaan Semula Pasca Banjir di Kelantan, di Fakulti Alam Bina Universiti Malaya di Kampung Tanjung Kuala di sini, hari ini.
Idris berkata kerajaan sentiasa melihat sama ada sistem pendidikan bertambah baik atau tidak dalam usaha memastikan pelajar mendapat pendidikan yang sempurna dan terbaik.
Ditanya kesan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) yang bermula 1 April lepas ke atas institusi pengajian tinggi, Idris berkata peringkat permulaan memang ada masalah namun kerajaan akan memperbaiki setiap kelemahan.
“Memang ada masalah di peringkat permulaan, bagaimanapun kita terima teguran dan terus memperbaiki kelemahan dan akhirnya rakyat akan mendapat keuntungan daripada CBP,” katanya.
Sementara itu, Universiti Malaya telah membaiki 30 rumah penduduk di Kampung Tanjung Kuala dan Kampung Tok Jerat yang rosak akibat banjir yang berlaku Disember tahun lepas melibatkan perbelanjaan RM180,000.
Seramai 35 pensyarah dan 140 pelajar dari Fakulti Alam Bina terlibat dalam kerja membaik pulih rumah berkenaan. – BERNAMA

