TASHKENT – Poster, sepanduk atau kain rentang digantung di sepanjang jalan utama di sini bagi menandakan rakyat Uzbekistan akan mengundi untuk presiden mereka pada Ahad.
Walaupun sebahagian besar jalan di ibu kota Uzbekistan ini turut dihiasi papan iklan yang tertera wajah dan nama empat calon presiden, mengiklankan kempen dan apa yang mereka mahu lakukan untuk negara ini — namun ia adalah pilihan raya presiden yang tenang.
Tetapi mungkin warga Uzbekistan tidak benar-benar perlukan ‘perang poster’ seperti yang dilihat oleh pemerhati Malaysia semasa pilihan raya Parlimen di negara itu pada Disember tahun lepas.
Warga Uzbekistan tahu hak mereka untuk keluar mengundi dan mereka mengambil tanggungjawab ini secara serius untuk melihat negara mereka maju ke hadapan di bawah pentadbiran kerajaan yang lebih demokratik dan pembangunan dalam sosiopolitik dan sosioekonomi.
Ketua Perkhidmatan Penerangan, Ketua Pengarang Uzbekistan Wings, sebuah akhbar Uzbekistan Airways, Feruza Kurbanova, 49, sudah tahu siapa yang menjadi pilihannya. Beliau akan mengundi presiden sekarang, Islam Karimov, yang akan bertanding dengan tiga calon lain bagi jawatan presiden.
Bagi beliau Karimov bukan sahaja berjaya membangunkan negara itu dalam bidang ekonomi dan infrastruktur dan mengubah Uzbekistan menjadi sebuah negara yang modern, tetapi beliau juga menyuburkan Islam di negara itu, yang memperoleh kemerdekaan daripada Soviet Union pada 1991.
“Beliau telah memberi kami peluang untuk memperbaiki kehidupan kami dan hidup dalam aman dan harmoni selain menyediakan platform terbaik untuk kehidupan generasi akan datang,” kata Kurbanova kepada Bernama.
Beliau berpendapat tiga lagi calon presiden itu adalah bagus tetapi ‘tidak sebagus Karimov’.
Berkongsi pendapat yang sama, Sadullayeva Laylo Islambayevna, 26, berkata beliau kagum dengan kepimpinan Karimov yang memberi tumpuan terhadap belia dan menyediakan banyak peluang untuk belajar, serta menyatakan terdapat 24 universiti di Tashkent.
“Beliau memberi kami banyak peluang untuk melanjutkan pengajian dan memperbaiki taraf hidup kami,” kata Laylo, yang mengajar bahasa Inggeris di Uzbekistan State World Language University.
Di KUALA LUMPUR, Duta Uzbekistan di Malaysia Murad Askarov memberitahu Bernama kesemua empat calon berkenaan diberi peluang yang sama ketika berkempen, sambil menyatakan presiden sekarang adalah bapa pengasas Uzbekistan.
“Proses yang selayaknya telah diberi kepada semua calon. Rakyat akan membuat keputusan sendiri,” katanya pada sesi taklimat Pilihan Raya Presiden 2015 di kedutaan itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Selain penyandang presiden Karimov yang mewakili Liberal Democratic Party, tiga calon lain ialah Khatamjan Ketmonov daripada People’s Democratic Party; Narimon Umarov daripada Social Democratic Adolat (Justice) Party dan AkmalSaidov daripada Democratic National Renaissance Party.
Kempen pilihan raya bermula 26 Dis tahun lepas dan akan berakhir sehari sebelum pemilihan pada Ahad.
Karimov, 77, yang memimpin negara itu sejak dua dekad yang lepas sejak kejatuhan Soviet Union, memenangi penggal baharu tujuh tahun pada Disember 2007, memperoleh 88 peratus undi. Pada 2012, Parlimen Uzbekistan meminda perlembagaannya untuk memendekkan tempoh presiden daripada tujuh kepada lima tahun.
Malaysia menjalin hubungan diplomatik dengan Uzbekistan, sebuah daripada negara pengeluar terbesar kapas dan sebuah negara yang kaya dengan sumber asli termasuk minyak, gas dan emas, pada Februari 1992. – BERNAMA
https://youtu.be/3F_Su88CL04

