KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor atau membenarkan parti yang bertanding untuk berkempen secara terbuka.
Majlis itu berkata, ia bagi memastikan tiada pihak menjadikan peningkatan kes COVID-19 sebagai alat bagi tujuan politik walaupun kes jangkitan harian 19 menunjukkan trend peningkatan akibat varian Omicron.
“Majlis Presiden memandang serius gelombang COVID-19 dengan varian Omicron yang bermula dengan jumlah kes mencecah 17,000 kelmarin. Demi memastikan keadaan ini tidak diperalatkan untuk tujuan politik maka kerajaan harus pertimbang menangguhkan PRN Johor.
“Sekiranya kerajaan enggan menangguhkan dan ingin memberi kelonggaran seperti negara Barat, maka kempen terbuka termasuk ceramah harus dibenarkan. Yang pasti perintah kawalan pergerakan penuh tidak boleh dikenakan kerana terbukti gagal sebelum ini,” kata Majlis Presiden PH dalam kenyataan bersama, hari ini.
Kenyataan bersama itu ditanda tangani Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Madius Tangau.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan kes positif COVID-19 di negara ini terus melonjak, apabila sebanyak 17,134 kes direkodkan semalam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN Johor diadakan pada 12 Mac ini dengan hari mengundi awal ditetapkan pada 8 Mac manakala penamaan calon pada 26 Februari ini.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, PRN Johor boleh diteruskan, biarpun Malaysia berada dalam gelombang Omicron berikutan pesakit COVID-19 dijangkiti varian itu tidak menunjukkan kesan teruk berbanding varian Delta.
Sementara itu, Majlis Presiden PH memandang serius gelombang COVID-19 dengan lonjakan kes akibat varian Omicron yang mencecah 17,000 kes semalam.
Justeru, PH meminta kerajaan tidak menyalahgunakan penguatkuasaan saman ke atas individu dan perniagaan, sebaliknya memberi fokus kepada pendidikan serta kesedaran untuk menangani gelombang varian Omicron.
Sementara itu, Majlis Presiden PH turut memutuskan untuk mengadakan siri jelajah penamaan calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi selepas calon parti dimuktamadkan dalam masa terdekat.
BHonline-

