JOHOR BAHRU – Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali melahirkan rasa syukur apabila Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 yang berlangsung di sini semalam menerima kehadiran yang sangat ramai.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP mendakwa, jumlah keseluruhan kehadiran mencecah 10,000 orang sehingga sebahagian peserta terpaksa duduk bersila akibat kesesakan dalam dewan.
“Terima kasih dan salut kepada semua yang hadir serta menjadi sebahagian daripada kejayaan pelaksanaan Konvensyen PH 2026,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Menurut Sheikh Umar, seawal pukul 7 pagi lagi orang ramai sudah mula memenuhi kawasan konvensyen, malah ada yang berada di lokasi sejak malam sebelumnya di kawasan Lepak Corner berhampiran hotel penginapan.
Katanya, keadaan mula sesak sekitar pukul 8 pagi apabila kaunter pendaftaran dipenuhi peserta yang beratur panjang, manakala urus setia terpaksa mengawal keadaan kerana kehadiran yang terlalu ramai.
Menjelang pukul 9 pagi, ruang makan di tingkat bawah dilaporkan penuh dan makanan sarapan tidak mencukupi.
Situasi semakin padat sekitar pukul 10 pagi apabila ada peserta mula memasuki dewan melalui bahagian belakang dan tepi dewan bagi mendapatkan tempat.
Menurut beliau lagi, sekitar pukul 11.30 pagi, orang ramai mula memenuhi pintu masuk ruang makan kerana bimbang makanan tengah hari kehabisan.
“Pada pukul 2.30 petang, peserta mula mengeluh kerana penghawa dingin dalam dewan tidak lagi terasa sejuk akibat keadaan terlalu sesak. Ada yang terpaksa duduk bersila di atas lantai di kiri dan kanan pentas,” katanya.
Sheikh Umar turut berkongsi laporan kehadiran yang diterimanya sekitar pukul 3.08 petang menunjukkan seramai 8,466 peserta direkodkan melalui sistem pendaftaran kod QR.
Menurutnya, jumlah itu belum termasuk mereka yang berada di ruang legar, kafe, kawasan luar dewan, peserta yang pulang awal serta individu yang tidak sempat membuat pendaftaran.
“Anggaran tambahan sekitar 1,500 orang lagi menjadikan jumlah keseluruhan hampir mencecah 10,000 kehadiran,” katanya.
Tambah beliau, pengacara majlis mengumumkan kehadiran konvensyen mencecah 10,000 orang sebelum ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula sekitar pukul 3.30 petang. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Sheikh Omar Ali


