JOHOR BAHRU – Kegagalan Johor Darul Ta’zim (JDT) mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia musim ini merupakan satu ‘wake-up call’ buat pasukan itu.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, JDT terlalu selesa, terlalu yakin dan tidak mengeluarkan belanja untuk skuad dalam tiga musim terakhir.

“Ada hikmah disebaliknya, bagus juga ada ‘wake-up call’. Buat apa pun jikalau Allah S.W.T tidak mengizinkan rezeki tersebut bukan kita punya.
“Tetapi selepas apa yang terjadi, kami akan mula berbelanja semula kerana kami sudah dicabar. Ia akan menjadikan kami lebih bermotivasi untuk bertanding tahun hadapan.
“Saya anggap kekalahan semalam adalah positif untuk JDT. Kami akan menjadi lebih obses untuk memperbaiki kesilapan kami dan menguatkan lagi pasukan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tunku Ismail yang juga pemilik kelab JDT seterusnya berkata, pasukan itu akan menjalani latihan pra-musim di Dubai dan Abu Dhabi sebagai persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia musim akan datang.
Menurut beliau, JDT akan bermain dengan beberapa kelab tempatan di sana dan juga kelab-kelab Eropah sebagai satu aspek latihan memperkuatkan pasukan itu.
Dalam pada itu, katanya, beberapa pemain akan dikekalkan, ada yang akan dipinjamkan keluar dan ada pemain yang akan dilepaskan.
“Pengarah Teknikal JDT akan membuat pengumuman kepada para penyokong dengan lebih mendalam lagi nanti.
“Saya baru ingat hendak berehat dari bola sepak tahun hadapan tetapi apa yang berlaku membuatkan saya tidak jadi berehat.
“Seperti yang saya pernah katakan, ‘a wounded Tiger is always eager to bounce back’,” katanya. -MYNEWSHUB

