• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Tuesday, April 21, 2026
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

Darurat Kendurkan Ketegangan Politik, Fokus Pada COVID-19

oleh
13/01/2021
dalam Utama & Sensasi
0
Share on FacebookShare on Twitter

KUALA LUMPUR – Pengisytiharan Proklamasi Darurat pada waktu COVID-19 semakin mengganas dan ‘politiking’ yang tidak berkesudahan adalah tepat pada masanya bagi menjamin keselamatan dan kelangsungan hidup rakyat, demikian menurut pakar perlembagaan.

Mereka berpendapat dengan Proklamasi Darurat yang diisytihar pada Selasa, 100 peratus fokus kini dapat dihalakan kepada usaha memerangi penularan COVID-19 agar ia tidak menjadi lebih parah sekali gus memulihkan negara daripada kesan pandemik itu.

Pakar perlembagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof berkata Proklamasi Darurat merupakan langkah yang sangat baik, kerana ia juga dapat mengendur dan ‘merehatkan’ ketegangan politik sekali gus memberi peluang kepada usaha-usaha memerangi COVID-19.

“Pertamanya, pengisytiharan darurat ini adalah satu langkah yang amat tepat bagi memastikan usaha membendung wabak COVID-19 dapat dilaksanakan dengan cepat, tegas dan menyeluruh, tanpa terikat dengan sekatan-sekatan di sudut pentadbiran atau birokrasi.

“Secara tidak langsung, ia juga dapat memastikan tidak berlakunya Pilihan Raya Umum dalam tempoh ini…saya percaya ia bagi memastikan seluruh pemimpin politik dan juga rakyat memberi tumpuan kepada masalah sebenar negara iaitu COVID-19, masalah ekonomi dan masalah kesempitan hidup, bukannya kepada kemelut politik di dalam negara,” katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata memandangkan darurat boleh bertindak sebagai mekanisme untuk mengelak berlakunya sebarang bentuk pilihan raya, ia adalah amat relevan memandangkan akan berlakunya aktiviti kempen dan pergerakan pengundi yang boleh meningkatkan risiko jangkitan COVID-19 sekiranya pilihan raya diadakan.

“Mungkin ada pihak-pihak tertentu yang inginkan pilihan raya dijalankan segera atau ingin mengambil alih kerajaan dalam waktu COVID-19 sedang memuncak…saya percaya langkah pengisytiharan darurat ini sekali gus memberikan ketenteraman politik sekurang-kurangnya sehingga 1 Ogos depan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpendapat bagi mengekalkan konsep semak dan imbang, adalah tidak salah sekiranya persidangan Parlimen tetap diteruskan sepanjang darurat bagi memberikan ruang kepada Ahli Parlimen untuk mengemukakan pandangan rakyat bawahan.

“Jika diadakan sidang Parlimen, saya percaya tidak akan timbul cadangan untuk usul tidak percaya atau seumpamanya kerana masing-masing memahami fokus yang perlu diberikan iaitu bagi menyelesaikan masalah yang lebih besar ini.

“Walaupun demikian, kerajaan tetap mempunyai hak sama ada untuk menangguhkan sidang Parlimen atau mengubah kaedah persidangan dengan cara persidangan dalam talian, menggunakan ordinan-ordinan tertentu atau Ordinan Darurat sekiranya terdapat risiko jangkitan COVID-19 akibat persidangan berkenaan,” katanya.

Muhammad Fathi juga menyifatkan penubuhan Jawatankuasa Khas Bebas sebagai langkah yang sangat baik bagi memastikan darurat benar-benar bertujuan untuk menangani wabak dan bukannya untuk tujuan politik.

Kewujudan wakil pembangkang dalam jawatankuasa itu menunjukkan keseriusan kerajaan memastikan ia tidak menjejaskan proses demokrasi.

Dalam pada itu, pakar undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata meskipun enam negeri sudah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun darurat tetap diisytiharkan memandangkan ia dapat menangani situasi pandemik yang berada pada tahap kritikal, dengan lebih pantas.

“Darurat memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong dan Eksekutif untuk membuat undang-undang dengan segera serta mengambil tindakan drastik untuk mengatasi ancaman sekarang. 

“Undang-undang yang lebih ketat daripada PKP boleh dibuat melalui Ordinan Darurat, misalnya ordinan boleh dibuat untuk menaikkan kompaun kepada mereka yang ingkar arahan daripada RM1,000 kepada jumlah yang lebih besar, malah perintah penahanan sementara juga boleh dibuat,” katanya.

Nik Ahmad Kamal yang juga Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara berkata dalam keadaan jangkitan yang nampak sukar dikawal, ditambah tekanan yang dialami oleh hospital dan ‘frontliners’ di perkhidmatan kesihatan, pengisytiharan darurat adalah cara yang paling berkesan.

“Darurat boleh diisytihar dalam keadaan keselamatan atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam terancam dan dalam konteks COVID-19, semua elemen untuk pengisytiharan darurat itu wujud…jangkitan COVID-19 bertambah setiap hari, hospital tertekan dengan jumlah pesakit yang bertambah, rakyat bimbang untuk bebas dengan aktiviti mereka, ekonomi terjejas kerana perniagaan terpaksa dikawal dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata pengisytiharan darurat itu juga sebagai langkah pencegahan segera bagi mengatasi peningkatan kes harian COVID-19 di negara ini.

“Apa yang membezakannya sebagai contoh pengisytiharan darurat di Batu Sapi, Sarawak sebelum ini iaitu untuk menangguhkan Pilihan Raya Kecil dan darurat yang diumumkan hari ini lebih kepada memutuskan penyebaran COVID-19,” katanya ketika dihubungi menerusi program Malaysia Petang Ini yang disiarkan secara langsung menerusi Bernama TV pada Selasa.

Shamrahayu berkata Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,  mempunyai hak untuk memperkenankan selama mana tempoh darurat itu dilaksanakan.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan Istana Negara memaklumkan Seri Paduka memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan. – BERNAMA

Tags: Covid-19daruratpolitik
Share196Tweet123SendShare

Related Posts

Berhenti Guna Isu Minyak ‘Gula-Gulakan’ Rakyat, Zaman Malaysia ‘Kaya’ Hasil Minyak Sudah Berlalu

Berhenti Guna Isu Minyak ‘Gula-Gulakan’ Rakyat, Zaman Malaysia ‘Kaya’ Hasil Minyak Sudah Berlalu

17/04/2026
0

KUALA LUMPUR - Generasi hari ini diminta supaya memahami dan bersedia menghadapi realiti baharu bahawa zaman Malaysia 'kaya' dengan hasil...

‘Jika Darurat Tak Sesuai, Tunggu  Keadaan Global Stabil Sebelum Adakan PRN’

‘Jika Darurat Tak Sesuai, Tunggu Keadaan Global Stabil Sebelum Adakan PRN’

15/04/2026
0

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen DAP Kota Melaka, Khoo Poay Tiong menegaskan cadangan mengisytiharkan darurat supaya Pilihan Raya Negeri (PRN)...

MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd