KUALA LUMPUR – Malaysia berunding dengan China untuk menggunakan khidmat pakar perubatan negara berkenaan di sini dengan segera.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata perbincangan berkaitan perkara itu dengan kerajaan China sudah dimulakan.
“Melalui hubungan Malaysia-China, Wisma Putra termasuk saya sendiri sudah mula berbincang dengan kerajaan China bagi memohon bantuan untuk menghantar pakar khususnya dalam bidang perubatan ke Malaysia dengan segera.
“Saya juga ingin memaklumkan, sewaktu menghadiri Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pagi tadi, saya sudah kongsikan kepada mereka, menerusi hubungan akrab Malaysia-Emriyah Arab Bersatu (UAE), Wisma Putra sedang berusaha mendapatkan bantuan peralatan perubatan daripada UAE dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media secara langsung di Facebook, hari ini.
Pada masa sama, Hishammuddin berkata pakar perubatan dari 26 hospital tempatan akan mengadakan sidang video dengan pakar perubatan China Khamis ini bagi berkongsi kaedah serta strategi terbaik melawan COVID-19.
Katanya, langkah itu bertujuan membantu petugas barisan hadapan memerangi wabak ini. – BH Online

