KUALA LUMPUR - Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohammad Abduh Nik Abdul Aziz menyelar pihak yang mendakwa tiada usaha menggulingkan Abdul Hadi sebagai Presiden PAS kerana petunjuk Allah mengenai perkara itu semakin nyata.
Beliau turut mengkritik pihak yang menyeru kepada Ukhuwwah Islamiyah tetapi kalimah itu bertujuan menutup kekejian yang kian terdedah.
Anak kepada Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat ini turut berkongsi pendapat, arwah bapanya menemui ajal dengan tenang kerana keharmonian hubungannya dengan para ulama PAS termasuk Abdul Hadi sendiri.
“Saya yakin, antara ketenangan ayahanda sebelum ajalnya adalah keharmonian hubungannya yang semakin teguh dengan para ulama syura PAS dan TGHH (Abdul Hadi).
“Saya paling menikmatinya selaku anak,” kata beliau dalam satu kenyataan, Selasa.
Justeru, Nik Mohammad Abduh menasihati ahli PAS supaya taat kepada kepimpinan Presiden PAS dan hala tuju parti itu seperti yang ditetapkan oleh Majlis Syura Ulama.
“Ketaatan pada ketua adalah ibadah kepada Allah,” tegas beliau.
– MYNEWSHUB.CC

