• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Friday, April 3, 2026
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

Penularan Pneumonia Bukan Berkaitan Perlombongan

oleh
14/06/2019
dalam Gaya Hidup, Utama & Sensasi
0
Share on FacebookShare on Twitter

GUA MUSANG – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata penularan penyakit radang paru-paru (pneumonia) dalam kalangan masyarakat Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh di sini, bukan disebabkan aktiviti perlombongan bijih manganese.

Beliau berkata keputusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kimia pada 12 Jun secara keseluruhan mendapati kualiti air di kawasan persampelan iaitu Sungai Lebir adalah mematuhi Standard Kualiti Air Minum Kebangsaan Bagi Air Mentah.

“Keputusan pada 12 Jun juga mendapati tiada pencemaran daripada sisa kelapa sawit, pestisid dan hermisid.

“Siasatan yang dijalan oleh Jabatan Alam Sekitar juga mendapati tiada sebarang pelepasan sisa dan perlombongan manganese (bijih keluli) di Felda Aring 10 yang terletak kira-kira 10 kilometer dari perkampungan Orang Asli Kuala Koh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau dan mendengar taklimat tertutup di Pusat Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADM) di Dewan Felda Aring 10 di sini, hari ini.

Dr. Wan Azizah berkata bagaimanapun kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan akan mengesan punca sebenar penularan pneumonia yang berlaku di kawasan perkampungan tersebut.

“Ini satu fenomena baharu yang tidak melanda Orang Asli (pada waktu) dahulu. Kita nak tahu kenapa penularan penyakit yang mengakibatkan kematian mendadak sebab kita dapati mereka memang ada masalah kronik sejak beberapa tahun lepas.

“Apakah yang menyebabkan penyakit ini tercetus sehingga menyebabkan kematian. Keputusan ujian makmal (terhadap penularan penyakit ini) dijangka akan diperoleh dalam masa terdekat sebab dia kena kenal pasti mikroorganisma menerusi sampel yang diambil daripada pesakit dan mayat,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Wan Azizah berkata kerajaan juga sedang memikirkan cara bagaimana untuk membantu masyarakat ini untuk menikmati tahap kehidupan yang lebih baik berbanding ketika ini.

“Salah satunya kawasan rayau mereka juga semakin mengecil menyebabkan mereka kurang mendapatkan protein yang mencukupi sehingga mengakibatkan malnutrisi.

“Sumber pendapatan mereka juga semakin berkurangan kerana masalah tersebut jadi kita fikirkan bagaimana nak tangani masalah pemodenan dan kemiskinan (yang melanda Orang Asli),” katanya.

Dalam masa yang sama, Dr. Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata selain rawatan kesihatan, kerajaan juga memberikan kaunseling kepada keluarga mangsa dan petugas bagi mengurangkan keresahan yang dialami mereka.

“Setakat ini, kita membuka sebuah pusat pemindahan sementara di bekas kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani Gua Musang untuk menempatkan pesakit Orang Asli yang telah dibenarkan keluar daripada hospital.

“Kem berkenaan mampu memuatkan 400 orang pada satu-satu masa namun pergerakan mereka akan dihadkan kerana siasatan terhadap pelbagai perkara yang menyumbang kepada penyakit tersebut masih dalam siasatan,” katanya.

Beliau, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara kerajaan akan mempertimbangkan untuk memberi pampasan kepada keluarga mangsa Orang Asli yang meninggal namun perkara tersebut akan diputuskan kemudian selepas semua siasatan selesai.

Katanya mana-mana pihak yang mahu memberikan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menghantar barangan keperluan seperti bekalan makanan dan kit kesihatan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Gua Musang dan pusat pengumpulan bantuan di kawasan operasi.

“Bagaimanapun kita mengehadkan kawasan berkenaan kepada orang awam susulan pengisytiharan kawasan merah oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan baru-baru ini,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Orang Asli suku Batek yang terjejas dengan penularan penyakit tersebut.

Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar.

Statistik terbaharu yang diperoleh di Pusat Media menunjukkan seramai 103 Orang Asli telah menerima rawatan sehingga 13 Jun membabitkan 56 pesakit luar, 42 ditempatkan di wad biasa dan lima di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Gua Musang, Hospital Kuala Krai dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu.

Daripada jumlah tersebut, ia membabitkan 50 lelaki dan 53 perempuan, melibatkan 53 kanak-kanak di bawah 12 tahun dan 52 pesakit dewasa.

Tags: Kuala kohOrang asli batekpneumoniaWan Azizah Wan Ismail
Share196Tweet123SendShare

Related Posts

Val Kilmer Meninggal Dunia Akibat Pneumonia

Val Kilmer Meninggal Dunia Akibat Pneumonia

02/04/2025
2

LOS ANGELES: Aktor Hollywood, Val Kilmer yang terkenal dengan filem Top Gun dan Batman Forever, meninggal dunia pada usia 65...

Belum Ada Perbincangan Mendalam RUU Kekal Kerajaan Hingga Akhir Penggal – Fahmi

Anwar, Wan Azizah Titip Doa Buat Putera Mateen Dan Pasangan

14/01/2024
0

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendoakan semoga...

MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd