PEMUDA UMNO menasihatkan agar 2 parti komponen Barisan Nasional iaitu MCA dan MIC supaya mengutamakan rakyat berbanding kepentingan parti supaya parti komponen itu dapat meneroka peluang pakatan politik baharu.
Ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki berkata setiap keputusan tidak perlu dibuat secara terburu-buru dan dilakukan dalam keadaan marah kerana ia boleh dibawa berbincang bagi mencari jalan penyelesaian.
“Saya bagi pihak Pergerakan Pemuda UMNO dan BN menyarankan MCA dan MIC jangan membuat pendirian secara melulu dan dalam keadaan marah… dalam keadaan tegang jangan buat keputusan… lebih baik duduk dahulu dan berbincang,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi 2 rumah pesakit kronik di DUN Jabi, semalam.
Beliau mengulas kenyataan bersama yang dibuat MCA dan MIC semalam yang mahukan BN dibubar ekoran kecewa dengan perkembangan semasa yang menyaksikan asas kesefahaman dalam BN tidak lagi dihormati.
Dalam kenyataan tersebut yang ditandatangani Presiden MCA, Wee Ka Siong dan Presiden MIC, S A Vigneswaran, kedua-dua parti itu juga mengakui sedang mempertimbangkan untuk mencari gabungan baru.
Keputusan itu juga dipengaruhi tindakan UMNO yang membuat keputusan menjalinkan kerjasama erat dengan PAS dalam 2 pilihan raya kecil di Cameron Highlands dan Semenyih baru-baru ini.

