KUALA LUMPUR – Satu pertemuan akan diadakan antara Media Prima Bhd dengan Kesatuan Sekerja Kakitangan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) (KSKSTMB) dan Kesatuan Eksekutif TV3 (KESTMB) esok bagi membincangkan kemelut yang melanda syarikat berkenaan, kata Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran.
Beliau berkata perkara itu dimaklumkan oleh Presiden KSKSTMB Khairuzzaman Mohammad ketika menyerahkan memorandum kepada kementerian itu bagi membantah langkah pembuangan pekerja yang dilaksanakan Media Prima.
Kementerian beliau akan mendengar terlebih dahulu hasil perbincangan esok dan masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian.
“Kita akan dengar dahulu because we don’t have anything in writing (kerana kita tidak ada sebarang bentuk dalam bertulis). Kita lihat cara bagaimana mereka menyelesaikan perkara itu.
“Jika tidak, perkara itu akan dirujuk kepada kementerian untuk membuat keputusan sama ada perkara itu akan dirujuk kepada mahkamah,” katanya dalam satu sidang media selepas menerima memorandum berkenaan di lobi Parlimen, hari ini.
Media melaporkan kesatuan-kesatuan berkenaan membantah pelaksanaan pemberhentian 190 pekerja teknikal Jabatan Eng dan Props serta proses MSS secara paksa seramai 43 pekerja Jabatan Berita dan Perkhidmatan Pengurusan.
Kesatuan itu turut menggesa campurtangan Kementerian Sumber Manusia dan kerajaan untuk membatalkan tindakan pengurusan Media Prima ini dalam melaksanakan pemberhentian kerja ini yang didakwa kesatuan itu tidak mengikut lunas undang-undang.
Antara kandungan memorandum itu menyebut bahawa pihak pengurusan Media Prima Bhd tidak pernah mengadakan perbincangan dengan kesatuan-kesatuan itu berhubung perkara berkenaan sebelum mengumumkan langkah pemberhentian pekerja. – BERNAMA

