MUAR – Polis menahan tiga lelaki dan sedang memburu seorang lagi yang disyaki terlibat dalam satu kejadian pecah kedai serbaneka di Kampung Temiang, Jalan Bukit Pasir, di sini, awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Muar ACP Zaharudin Rasip dalam satu kenyataan berkata dalam kejadian itu, polis yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima aduan daripada orang awam pada kira-kira pukul 4.30 pagi, terserempak dengan empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang.
Beliau berkata polis kemudiannya melepaskan satu das tembakan, namun menurutnya suspek terus menyerang anggota polis dengan menghayunkan parang, sebelum satu das tembakan lagi dilepaskan oleh anggota polis bagi tujuan mempertahankan diri.
Menurutnya semua suspek kemudiannya melarikan diri di kawasan belukar berdekatan namun salah seorang suspek diberkas kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian, manakala dua lagi ditahan menerusi sekatan jalan raya ‘Op Tutup’ tidak lama kemudian.
Katanya tiga yang ditahan berumur antara 23 dan 32 tahun, manakala lelaki yang diburu adalah seorang warga Vietnam.
“Sehubungan itu, pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak cemas, dan mereka yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menyalurkannya kepada kepada Bilik Gerakan IPD Muar dengan menelefon 06-9526001,” katanya. – BERNAMA

