CALIFORNIA, Amerika Syarikat – Bayu panas dan kering diberi jolokan ‘Angin Syaitan’ bertiup ke kawasan kebakaran hutan di California Selatan semalam, mengakibatkan api yang meragut sekurang-kurangnya 25 nyawa menjadi semakin marak, kata beberapa pegawai.
“Ia semakin buruk. Kami menerima angin kuat berkelajuan hingga 112 kilometer sejam,” kata ahli meteorologi tempatan, Marc Chenard awal semalam berhubung bayu Santa Ana itu yang digelar ‘Angin Syaitan’.
Angin itu melanda kawasan di Los Angeles di mana kebakaran dikenali sebagai Woolsey Fire marak di Daerah Ventura dan meragut sekurang-kurangnya dua nyawa sejak Khamis lalu.
Angin tambahan selaju 64 kilometer sejam juga diramal bertiup ke kaki bukit Sierra Nevada, California Utara dekat Sacramento di mana kebakaran yang diberi nama Camp Fire meragut sekurang-kurangnya 23 nyawa.
Kebakaran Camp Fire memusnahkan lebih 6,700 kediaman dan premis perniagaan di bandar Paradise sekali gus kemusnahan lebih banyak struktur berbanding kebakaran hutan lain.
Angka kematian, yang mungkin meningkat, juga menjadikan Camp Fire antara kebakaran hutan paling berdarah dalam sejarah California.
Hanya kebakaran hutan yang digelar Griffith Fire pada tahun 1933 dan Tunnel Fire dalam tahun 1991 meragut lebih banyak nyawa. – Reuters/BH ONLINE

