KUALA LUMPUR – Zaman ketuanan Melayu di Malaysia telah berakhir!
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Forum Ekonomi Belia 2018 di ibu negara ini.
Menurut beliau, Malaysia kini bergerak ke arah fasa baharu yang memperjuangkan kesaksamaan antara semua kaum.
“Ini bukan lagi zaman ketuanan Melayu tetapi kita sudah masuk fasa baharu di mana kita bincangkan tentang kesaksamaan semua.
“Kita di zaman perkongsian kekayaan. Ini salah satu agenda yang akan parti saya ketengahkan dan perjuangkan,” katanya seperti dilaporkan media hari ini.
Kenyataan Syed Saddiq itu dilihat selari dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang merupakan asas perjuangan parti DAP selama ini.
Ironinya, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad antara yang lantang membantah konsep ‘Malaysian Malaysia’ sejak berpuluh tahun lalu.
Mahathir dalam buku bertajuk “Tun M: Inilah Perjuangan” malah menulis mengenai ‘Malaysian Malaysia’ bakal memansuhkan hak istimewa orang Melayu.
Kenyataan Syed Saddiq itu juga selari dengan pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy bahawa Malaysia akan meratifikasikan ICERD tahun depan.
Konvensyen Antarabangsa ICERD iaitu singkatan Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) bermakna hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, politik dan undang-undang tertentu di negara ini perlu dihapuskan.
Waytha Moorthy yang diangkat sebagai anggota Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf). – MYNEWSHUB.TV